Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dalam Majlis Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) bakal memperkukuhkan lagi industri automotif Malaysia bagi melakukan transformasi dalam sektor perindustrian automotif yang lebih besar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, teras NAP 2020 akan menjadi elemen teknologi seperti Kenderaan Generasi Seterusnya (NXGV), Mobiliti sebagai Perkhidmatan (MaaS), dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selari dengan trend yang muncul di pasaran global.

Jelas beliau, di samping merangsang pembangunan kenderaan, komponen dan sistem yang dilengkapi dengan ciri-ciri baharu, ia merupakan dasar holistik yang merangkumi pembangunan menyeluruh keupayaan industri termasuk rantaian bekalan, modal insan, teknologi, selepas pasaran, eksport, kesediaan infrastruktur, piawaian atau peraturan.

”Walaupun fokus dasar ini adalah pada teknologi baru, Kerajaan menyedari keperluan industri yang terkini serta segera dan akan memastikan tidak ada pihak yang tertinggal.

“Pelaksanaan NAP 2020 telah dibahagikan beberapa fasa dan peralihan berdasarkan penembusan yang diramalkan dan permintaan komponen kritikal yang diperlukan berdasarkan trend dan kemajuan teknologi kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran NAP2020 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Menara MITI di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2020.

Darell menambah rakyat perlu melihat dasar ini dengan perspektif untuk jangka panjang.

Tegas beliau, walaupun kerajaan perlu menangani isu-isu semasa dalam industri hari ini, NAP 2020 adalah gambaran yang lebih besar untuk membimbing pemikiran, keupayaan dan semangat ke arah memacu perindustrian negara besar ini.

“Visi yang dibangunkan adalah sebagai pemacu keseluruhan NAP2020 dan dasar-dasar berikutnya untuk memastikan negara maju seiring dengan permintaan global dan untuk mengatasi sebarang cabaran industri automotif tempatan serta menjadikan sektor automotif sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

“Visi NAP 2020 bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan lestari bagi sektor automotif,” katanya. – MalaysiaGazette