Eddin Syazlee Shith

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenal pasti kira-kira 2,000 artikel yang dikategorikan sebagai tidak benar, palsu, fitnah dan berbaur perkauman dalam perhatian pihaknya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, daripada jumlah itu, 62 kes telah dibuka kertas siasatan dan 793 kes diberi nasihat, selebihnya dikategorikan sebagai laporan penyalahgunaan dan dirujuk kepada agensi.

Mengenai berita palsu mengenai wabak Covid-19, SKMM menerima sebanyak 27 laporan, dengan masing-masing empat kes telah dituduh dan akan dituduh di mahkamah hari ini.

“Kementerian ini menerusi SKMM tegas menangani isu berkaitan fitnah dan berita palsu ini. Aktiviti ini semakin menjadi-jadi yang menjadikan kerajaan Pakatan harapan (PH) sebagai sasaran.

“Kamu jangan ingat, walaupun menggunakan akaun palsu kita tidak tahu. Dengan terknologi serba canggih, kita boleh tahu dengan mudah identiti pemilik akaun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai berita palsu dan fitnah bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin di pejabat Hal Ehwal Undang-Undang di sini, hari ini.

Kata Eddin Syazlee, pihaknya kini menumpukan penyebaran berita yang bersifat jelik seperti menghina Institusi Raja-Raja, agama dan berbaur perkauman.

Kata beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang menyebarkan fitnah itu dan tangkapan akan dilakukan walaupun di rumah.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sekali-kali cuba berkongsi berita palsu yang diterima kerana perbuatan itu mengundang bahaya dan kesalahan jika dikesan.

“Sebolehnya cuba mengelakkan daripada bersubahat memanipulasikan isu sensitif, sebaliknya membudayakan penggunaan internet secara berhemah dan beretika.

“Ini kerana setiap laporan yang dipaparkan, jika berunsur fitnah, ia akan menyusahkan masyarakat dan secara tidak langsung anda terlibat dalam jenayah siber,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.