Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencatatkan prestasi dagangan dalam jajaran sempit antara 1,525 dan 1,535 minggu depan, dengan pakej rangsangan fiskal oleh kerajaan menjadi tumpuan pelabur.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, di peringkat pasaran global, pelabur asing mungkin terus dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi, yang sebahagian besarnya terjejas ekoran penularan COVID-19.

Beliau berkata, ini turut memberi kesan ke atas ekuiti Malaysia dan menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan  pelabur di sini.

“Kebimbangan mengenai peningkatan kes baharu COVID-19 di luar China dilihat ketara. Ini yang berlaku terutamanya kes di Korea Selatan apabila bilangan kes baharu meningkat kepada 52 setakat 20 Februari, sekali gus menjadikan kes keseluruhan sebanyak 156.

“Oleh itu, para pelabur bimbang impak yang berpotensi terhadap pertumbuhan global memandangkan perdagangan dan pelaburan sangat saling berkaitan susulan kelaziman rantaian bekalan global,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata berikutan keadaan ekonomi semasa, bank-bank utama di Asia telah mengurangkan kadar penanda aras untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

Sementara itu, pada 27 Feb ini, kerajaan akan mengumumkan pakej untuk merangsangkan ekonomi Malaysia dan mengurangkan kesan buruk daripada penularan COVID-19 serta ketidaktentuan luaran lain.

Ia dijangka memperuntukkan sehingga RM15 bilion.

Mengikut asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 13.26 mata kepada 1,531.2 daripada 1,544.46 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 100.47 mata kepada 10,965.61 dan Indeks FBMT 100 turun 105.89 mata kepada 10,747.11.

Indeks FBM ACE melonjak 127.11 mata kepada 5,746.92, Indeks FBM Emas Syariah merosot 241.77 mata kepada 11,657.26 dan FBM 70 kurang 189.23 mata kepada 13,881.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 122.96 mata kepada 14,695.92 namun Indeks Perladangan turun 200.46 mata kepada 7,134.65 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.92 mata kepada 145.79.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.93 bilion unit bernilai RM10.31 bilion daripada 13.40 bilion unit bernilai RM11.51 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 8.21 bilion saham bernilai RM9 bilion daripada 8.33 bilion saham bernilai RM10.17 bilion.

Waran merekodkan jumlah dagangan sebanyak 1.79 bilion unit bernilai RM304.55 juta berbanding 1.90 bilion unit bernilai RM287.80 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 3.91 bilion saham bernilai RM999.82 juta daripada 2.56 bilion saham bernilai RM804.78 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast