Marina Chin Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebarang perubahan dalam Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan melalui proses demokrasi, kata Marina Chin Abdullah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, jika perubahan semula itu diperlukan, kerajaan boleh melakukannya secara konsensus.

Menurutnya, semangat perkongsian kemakmuran dan pembaharuan demokratik mesti dikekalkan di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sebarang perubahan tidak boleh dilaksanakan kecuali melalui proses demokrasi.

“Apa-apa perubahan mesti mengikut proses pilihan raya. Sebarang percubaan selain itu adalah bertentangan dengan kehendak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Pakatan Harapan perlu menghormati janji menegakkan agenda pembaharuan, memastikan kemakmuran dalam masyarakat dan mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.

“Pakatan Harapan telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 selepas diberi mandat untuk melaksanakan reformasi. Oleh itu PH memikul tanggungjawab melaksanakan agenda tersebut, memastikan kemakmuran bersama dan mengembalikan kuasa kepada rakyat.

“Perkara ini telah berkali-kali diulangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari Jumaat dan dipersetujui secara sebulat suara oleh kepimpinan Pakatan Harapan,” katanya.

Marina berkata, malah Majlis Presiden PH memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir untuk menentukan tarikh peralihan kuasa.

Beliau berharap PH akan terus komited kerana perlu berdepan dengan banyak cabaran dan pelbagai polisi reformasi yang belum ditunaikan ia termasuk kesaksamaan ekonomi, pilihan raya yang bersih dan bebas serta menangani penyelewengan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.