Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya bercakap kepada media selepas mesyuarat khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya menegaskan pendirian parti itu yang sebulat suara menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi.

Mereka juga sepakat menyatakan sokongan supaya Dr Mahathir terus memegang jawatan sebagai perdana menteri walaupun beliau telah mengumumkan peletakan jawatan semalam.

Marzuki yang ditemui media selepas mesyuarat pemimpin tertinggi Bersatu turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya ada dalam kalangan pimpinan Bersatu meninggalkan parti itu.

“Kami satu barisan dan kekal begitu,” katanya.

Ketika ditanya tentang penubuhan kerajaan baharu bersama UMNO dan Pas, kata Marzuki, pihaknya belum berbincang tentang perkara itu lagi.

“Kita belum bincang tentang perkara Itu lagi. Selesai dulu isu ini. Jika mereka sokong kepimpinan Tun Mahathir, kami ucapakan terima kasih,” ujarnya.

Kata beliau lagi, tindakan Bersatu keluar Pakatan merupakan keputusan Presiden parti dan kesemua mereka akur.  -MalaysiaGazette