KUALA LUMPUR – FBM KLCI masih kekal di bawah paras psikologi 1,500 mata ketika dagangan dibuka pagi ini, seiring dengan kerugian di kebanyakan pasaran serantau.
Pada jam 9.07 pagi, FBM KLCI turun 4.70 mata kepada 1,485.36.
Antara kaunter-kaunter rugi dalam awal dagangan termasuk Fraser & Neave Holdings Bhd, Allianz Malaysia Bhd, Petronas Dagangan Bhd, Nestle (M) Bhd dan Petronas Gas Bhd.
Bloomberg berkata, penjualan yang menghapuskan keuntungan saham global untuk tahun ini berterusan di Asia pada di tengah-tengah kebimbangan seluruh dunia dengan penularan koronavirus.
Jepun dibuka lebih rendah selepas bercuti, manakala Australia dan Korea Selatan juga jatuh.
Niaga hadapan di Hong Kong menunjukkan permulaan yang lemah manakala niaga hadapan Amerika Syarikat naik lebih tinggi selepas penanda aras saham Amerika Syarikat merosot lebih daripada 3%, dengan Indeks S & P 500 turun paling banyak sejak Februari 2018.
Saham Eropah juga jatuh.
Semalam, Bursa Malaysia menyaksikan kejatuhan 21% daripada paras tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2018 didorong oleh penjualan panik.
Tekanan jualan menyebabkan indeks penanda aras itu mencatatkan penurunan mendadak dengan mencecah paras terendahnya dalam tempoh sembilan tahun.
Indeks FBM KLCI ditutup rendah dengan jatuh 41.14 mata atau 2.69 peratus kepada 1,490.06 mata, paras terendahnya sejak Disember 2011. – MalaysiaGazette