foto IQBAL BASRI, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Petronas Dagangan Bhd. (PDB) merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak lima peratus, dua kali ganda daripada pertumbuhan industri.

Ini mendorong kepada peningkatan perolehan syarikat kepada RM30.29 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pada tempoh yang sama PDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.128 bilion manakala pada suku terakhir 2019, syarikat tersebut merekodkan peningkatan PBT melebihi 100 peratus kepada RM190.6 juta didorong oleh pengukuhan harga produk petroleum.

Untung bersih bagaimanapun menyusut kepada RM829.54 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding RM849.85 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, usaha berterusan dalam menghasilkan produk dan inisiatif yang berorientasikan pelanggan akhirnya berjaya meningkatkan jualan syarikat melebihi jangkaan.

“Permintaan terhadap produk meningkat terutamanya selepas pelancaran Petronas Primax 95 with Pro-Drive.

“Berbanding prestasi tahun lepas, perniagaan runcit mencatatkan pertumbuhan keuntungan kasar sebanyak 16 peratus dan peningkatan volum jualan sebanyak tujuh peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Perniagaan komersial turut mencatatkan peningkatan keuntungan kasar sebanyak lapan peratus dan volum jualan menokok empat peratus didorong oleh permintaan tinggi diesel, Jet A1 dan Bitumen.

Meskipun terpaksa bersaing dalam pasaran yang sengit dan menyusut, perniagaan LPG tetap mampu merekodkan pertumbuhan sebanyak satu peratus.

Untung kasar perniagaan pelincir naik satu peratus walaupun merekodkan jumlah jualan yang lebih rendah.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast