SEBAHAGIAN daripada 2,100 peserta ketika memulakan larian santai kategori 2.5km dan 5km di Taman Wawasan, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Menyarung busana Puteri Perak yang terdiri daripada baju kurung cekak musang, seluar panjang, kain samping dan selendang, Siti Hajar Abdullah, 40, tidak kekok menghayun langkah bagi menamatkan acara larian santai  SHERUN Gorgeous Girl (SGG) 2020 pada Ahad lalu.

Lebih mengujakan apabila beliau berjaya menamatkan larian sejauh lima kilometer,  sekali gus layak menerima medal penamat di penghujung garisan.

Ketika ditanya mengenai pemilihan pakaian tradisi negeri Perak  untuk acara larian santai itu, Siti Hajar berkata,  itu kali kedua beliau mengenakan pakaian tradisional untuk  acara larian santai.

Menurutnya, kali pertama adalah ketika menyertai Songket Run dengan menyarung pakaian Puteri Perak yang ditempah khas.

Siti Hajar Abdullah mengenakan pakaian Puteri Perak sepanjang larian santai SHERUN Gorgeous Girl 2020.

“Memandangkan pakaian ini sudah ada  dan  sesuai dengan tema SHERUN iaitu gorgeous girl, maka saya mengenakan sekali lagi pakaian Puteri Perak untuk acara SGG pada Ahad lalu,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Ditanya tidakkah  ‘panas’  mengenakan songket untuk acara larian, Siti Hajar menjawab bahawa jenis fabrik yang digunakan untuk pakaian Puteri Perak itu adalah kain kapas yang disulam dengan benang emas.

“Ia bukan kain songket asli yang dipakai pengantin untuk majlis kahwin. Kalau kain jenis itu, memang panas dan saya juga tidak akan memakainya,” tambahnya.

Beliau yang menyarung kasut sukan Brooks untuk memudahkannya berlari dengan santai berkata, tujuan beliau memakai pakaian tradisional Puteri Perak itu, antara lain untuk mempromosikan pakaian tradisional agar tidak lapuk ditelan zaman.

Seorang peserta sempat berswafoto dalam larian santai SHERUN Gorgeous Girl 2020.

Berbaloi menyarung busana cantik itu apabila Siti Hajar yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata dinobatkan sebagai pemenang pakaian terbaik dengan menerima hadiah hamper barangan.

Acara larian santai SGG2020 itu dianjurkan oleh Persatuan Rekreasi Wanita Malaysia (WRAM) dengan kerjasama SHE Sports Production Sdn Bhd dan Perbadanan Putrajaya (PPj). Acara itu juga  diadakan sempena sambutan Hari Wilayah dan Hari Wetland Sedunia yang berlangsung pada  Februari setiap tahun.

Kira-kira 2,100 orang menyertainya dalam dua kategori   iaitu 2.5km dan 5km. Antara pihak yang menaja acara ini ialah Nestle Malaysia yang menyediakan dua buah trak minuman Milo, 100Plus,  baucer kecantikan bernilai RM200 daripada Regions Clinic dan bernilai RM880 daripada Beaute Library  untuk semua peserta, selain kira-kira 1,000 biji roti Danish Kastard daripada Fuji Bakery.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan nombor bertuah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM10,000.

Antara hadiah menarik yang disediakan ialah basikal,  barangan elektrik, aksesori larian, barangan outdoor dan tiket penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Pengurus Acara SGG2020, Narimah Samat berkata, acara larian itu terbuka kepada semua penyertaan.

Menurutnya, bukan sahaja golongan wanita menyertainya, malah kaum lelaki turut menjayakan acara  larian santai itu.

Peserta lelaki turut menyertai acara larian santai.

“Malah kita juga boleh melihat ibu atau bapa menolak kereta sorong anak-anak kecil mereka dalam acara yang diadakan di Taman Wawasan, Presint 2, Putrajaya ini,’ katanya.

Beliau menambah,  acara larian santai SGG2020 itu bermula dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi, manakala aktiviti sampingan  Putrajaya Park’s Day berakhir pada pukul 5 petang.

Selain larian santai, aktiviti menarik Putrajaya Park’s Day ialah memanah, tree climbing, petting zoo dan food truck.

SHERUN yang bermula pada  tahun lalu merupakan siri larian santai yang  diadakan di lokasi berbeza sepanjang tahun. 

Antara acara yang diadakan pada tahun lalu ialah SHERUN Putrajaya yang berlangsung di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya pada 10 Februari, SHERUN Kuala Lumpur  di  Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Jalan Ampang pada 14 April  dan SHERUN Runaway Princess  di Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya pada 17 November.

Dalam pada itu, katanya, acara larian santai akan datang adalah Matic Cultural Run 2020  di Lanai, MaTiC pada 19 April 2020. – MalaysiaGazette