Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 'pasukannya' di Hotel Sofitel di Damanasara sebelum pergi ke Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari di hotel Sofitel semalam bersama kumpulan penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai menimbulkan ketegangan antara mereka.

Sumber memberitahu tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu tidak disenangi oleh Azmin kerana Amiruddin tidak hadir bersama-sama bersolidariti di Sofitel Damansara.

Menurut sumber berkenaan, tiga ADUN Selangor dan seorang ADUN Pulau Pinang dari kem Azmin hadir untuk memberikan sokongan.

Tiga ADUN Selangor adalah ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli; ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha dan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi.

Turut hadir adalah ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin.

Di hotel Sofitel semalam, kelibat Amiruddin tidak kelihatan semasa Azmin dan 10 bekas Ahli PKR berkumpul sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Yang dilihat mengiringi Azmin dan penyokong adalah ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Semalam, Azmin bersama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar; bekas Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin selesai mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong. -MalaysiaGazette