KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) tidak dapat mengadap Sultan Johor kerana ada urusan yang sama dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semalam.
Datuk Salahuddin Ayub mengakui selepas selesai tugas di Istana Negara, beliau tidak sempat balik ke Johor.
“Selaku ahli parlimen, saya telah mengadap YDPA untuk mempertahankan mandat rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, beliau selaku Ahli Parlimen Pulai bersama-sama ahli parlimen lain dari Parti Amanah Negara berada di Istana Negara untuk menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang dititahkan.
“Pada masa yang sama, selaku ADUN negeri Johor, saya juga dititahkan untuk menghadap DYMM Sultan Johor.
“Disebabkan kesuntukan masa, saya tidak sempat untuk menghadap DYMM Sultan Johor dalam masa yang ditetapkan. Namun, saya sentiasa menjunjung duli DYMM Sultan Johor,” katanya.
Apa pun, katanya, sokongan Salahuddin kepada Pakatan Harapan tidak pernah berbelah bahagi. – MalaysiaGazette