Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

USAHA kerajaan memerangi rasuah, memperkasakan tadbir urus dan integriti masyarakat secara ekstrem dan menyeluruh pada tahun 2018 telah menampakkan hasil yang sangat memberangsangkan.

Penghujung Januari lalu, Transparency International (TI) telah mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia telah meningkat kepada 53 mata pada 2019 berbanding dengan 47 mata pada 2018, sekali gus menduduki tangga ke 51 daripada 61 pada 2018.

Kejayaan ini membuktikan beberapa inisiatif dan tindakan segera kerajaan dalam memerangi rasuah yang diselaras secara sistematik di bawah  penubuhan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah (GIACC) di bawah Tan Sri Abu Kassim Mohammad, telah mula menampakkan hasil.

GIACC ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti yang berkaitan dengan tadbir urus, integriti dan gerakan anti rasuah negara.

Ia juga bertanggungjawab untuk merancang, merumus strategi dan menilai dasar dalam memastikan semua urusan kerajaan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik, berintegriti dan toleransi sifar terhadap rasuah.

Rujukan dan panduan utama dalam usaha memerangi rasuah ini turut disediakan oleh kerajaan seperti terkandung di dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 29 Januari 2019.

NACP itu mempunyai 115 inisiatif, enam strategi dan enam bidang keutamaan yang semuanya bertujuan untuk membanteras, memerangi dan menyekat rasuah di Malaysia.

Ketika pelancaran NACP ini, skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2018 ialah 47/100 mata dan berada pada kedudukan 61/180.

Berikutan itu, Institut Integriti Malaysia (IIM) diberi peranan dalam usaha ini seperti mana diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada September 2018.

IIM diminta membantu GIACC di peringkat operasi dengan memainkan peranan dalam pembangunan kapasiti keupayaan dan kompetensi kepada semua sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) serta korporat menerusi penekanan terhadap penggunaan instrumen dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi itu.

Berikutan itu IIM menawarkan beberapa produk dan perkhidmatan yang memfokuskan untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Di antaranya ialah Pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang merupakan salah satu inisiatif mandatori di bawah NACP khususnya dalam “Memperkukuhkan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan Awam”.

Ia bertujuan membantu organisasi untuk membangunkan rancangan strategik antirasuah korporatnya sendiri. Menggariskan penyataan masalah, pendekatan dan program yang berkaitan dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan.

OACP ini bertindak membantu organisasi menentukan peruntukan sumber yang sesuai untuk memenuhi dasar yang ditetapkan, menentukan jangka masa yang munasabah dan menggariskan laluan ke arah pencapaian objektif strategik organisasi.

Di samping itu, IIM juga diminta untuk membantu organisasi kerajaan dan swasta dalam membangunkan dan mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 – Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).

Pensijilan ini adalah sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi membantu organisasi untuk mencegah, mengesan dan menangani rasuah. Pematuhan kepada pensijilan ini mula  dikuatkuasa pada Jun 2020.

Ia memerlukan organisasi untuk menerima dasar antirasuah, melantik seseorang untuk mengawasi pematuhan antirasuah, latihan, penilaian risiko dan ketekunan wajar (due diligence) terhadap projek dan rakan perniagaan.

Melalui pensijilan ini organisasi mesti menyediakan keperluan dan panduan untuk mewujud, melaksana, mengekal dan memperbaiki sistem pengurusan anti rasuah, malah ia boleh wujud secara bebas, disepadukan dengan sistem sedia ada atau menjadi sistem pengurusan keseluruhan.

Organisasi ini juga boleh mengenal pasti dan mengkaji semula risiko yang berkaitan dengan ancaman rasuah dengan melaksanakan kawalan kewangan dan komersial, melaksanakan prosedur pelaporan dan penyiasatan.

Manakala Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) pula merupakan satu alat pengurusan yang efektif dalam menangani isu-isu risiko rasuah dan mewujudkan sistem pengurusan yang bercirikan anti rasuah dan mendukung nilai integriti.

Ia menekankan analisa data kesalahan rasuah selain mengenalpasti punca-punca dan skim rasuah yang akan menghasilkan pelan tindakan risiko yang  berguna dan praktikal untuk pihak pengurusan tertinggi organisasi bagi memantapkan tadbir urus di organisasi yang komprehensif dan inklusif.

Selain itu, ia membantu organisasi mengenalpasti risiko-risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta menyediakan pelan pengurusan risiko yang sistematik sehingga mewujudkan tadbir urus terbaik yang boleh menutup ruang peluang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Di samping itu terdapat juga perkhidmatan Individual Integrity Profiling (IIP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB) dan Program Latihan Etika & Integriti.

Kesemua produk ini diharap dapat menjadi pemangkin utama kepada pembangunan kapasiti keupayaan & kompetensi kepada semua sektor awam, korporat dan GLC.

Namun begitu, dalam usaha melangkah ke hadapan untuk memerangi rasuah dan secara langsung untuk meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI, penglibatan, sokongan dan kerjasama semua pihak bermula dari peringkat kepimpinan negara sehinggalah masyarakat marhaen di bawah amat-amatlah diperlukan.

Oleh Hamilye Sham Harun Penulis merupakan Pengurus Besar Khidmat Korporat IIM