Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin hadir dipercayai untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri JPM, Mohamed Hanipa Maidin bertindak ‘lari’ apabila ternampak kelibat media menghampiri kereta beliau.

Lucunya, beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang itu pada awalnya tidak menyedari pengamal media berada di seberang jalan berdepan pondok pengawal Yayasan Al-Bukhary.

Beliau kemudian keluar dari kereta untuk masuk ke dalam Yayasan al-Bukhary sebelum sekumpulan media mendekati beliau.

Sejurus nampak media, beliau dengan tergesa-gesa dan pantas masuk semula ke dalam kereta dan meminta pemandunya memandu pergi.

Tampak riak wajahnya terkejut dan langsung tidak mahu bertemu dengan media.

Tidak ada sepatah pun keluar dari mulutnya, malah gelagat beliau lebih seperti mendesak pemandu segera bergerak dari situ.

Berlainan sekali dengan Datuk A Kadir Jasin yang sempat memberhentikan keretanya dan memberikan peluang kepada media menyoal beliau.

Bagaimanapun Penasihat Media dan Komunikasi kepada Tun Mahathir itu sempat berbual mesra sambil menyatakan sidang media atau kenyataan akan diberikan kepada semua selepas mesyuarat kelak.

Ketika ini, sebahagian media tempatan dan antarabangsa berkampung di pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir di Yayasan al-Bukhary di sini bagi membincangkan hala tuju kerajaan Pakatan Rakyat (PH).

Pagi tadi, Tun Mahathir sudah menyatakan hasrat untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8 dengan mendakwa mempunyai sokongan mencukupi bagi menerajui negara di bawah PH.

Namun Tan Sri Muhyiddin Yassin telah di lantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Perdana Menteri ke-8 petang tadi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.