Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR -Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran dagangan tidak menentu dengan kecenderungan menurun pada minggu depan di tengah-tengah kemelut politik yang belum ada sebarang kesudahan dalam landskap tempatan.

Seorang penganalisis berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras terendahnya sejak Disember 2011, dengan corak lemah muncul yang menandakan momentum menurun seterusnya.

“Ini disebabkan oleh paras aliran keluar asing yang tinggi serta pelabur runcit yang keluar dari pasaran. Tanpa sebarang dasar tempatan yang kukuh atau suasana politik kembali stabil, sukar bagi pasaran untuk melantun semula dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

FBM KLCI ditutup minggu ini pada 1,482.64, turun 48.56 mata daripada paras penutup Jumaat minggu sebelumnya, ketika negara dikejutkan dengan peralihan politik pada minggu ini, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, kabinet dibubarkan dan perdana menteri interim dilantik, sementara menunggu pembentukan kabinet baharu.

Bagi minggu yang akan datang, beliau berkata indeks utama dijangka diniagakan antara paras 1,460 hingga 1,500 dengan paras ketahanan pada 1,510 dan paras sokongan pendasar pada 1,450.

“Selain ketidakstabilan politik, pasaran juga akan dipengaruhi oleh musim keputusan korporat serta kajian semula Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI) pada Mac.

“Jika dikeluarkan daripada senarai WGBI akan menyebabkan bursa tempatan hilang akses pasaran antarabangsanya,” katanya.

Pada Januari tahun ini, pegangan asing dalam pasaran bon Malaysia berjumlah kira-kira US$100 bilion sebelum kebimbangan COVID-19 serta krisis politik tempatan.

Bagi asas mingguan, pasaran merekodkan aliran keluar terbesar tahun ini bernilai lebih daripada RM1 bilion berbanding RM447.9 juta pada minggu sebelumnya.

Saham wajaran tinggi seperti  Maybank dan kaunter berkaitan Petronas mencatatkan penurunan pendapatan korporat bagi tahun kewangan 2019, ketika syarikat-syarikat itu bersedia menghadapi ketidaktentuan yang lebih tinggi pada 2020 disebabkan oleh penularan COVID-19 serta kelembapan ekonomi global ekoran ketegangan perdagangan.

Di keseluruhan pasaran, berlaku juga pengeluaran besar-besaran dana di pelbagai sektor, terutamanya tenaga, pembinaan dan teknologi. Ini disebabkan oleh ketidakpastian tentang perbelanjaan kerajaan bagi projek yang baru diumumkan serta projek yang sedang dilaksanakan dan dipulihkan semula.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 486.84 mata kepada 10,478.77 dan Indeks FBMT 100 susut 446.31 mata kepada 10,300.80.

Indeks FBM ACE jatuh 526.63 mata kepada 5,238.29, Indeks FBM Emas Shariah susut 536.11 mata kepada 11,121.15 dan FBM 70 turun 1,007.87 mata kepada 12,873.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 365.27 mata kepada 14,330.65, Indeks Perladangan susut 324.91 mata kepada 6,809.74 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 12.99 mata kepada 132.80.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 19.61 bilion unit bernilai RM17.14 bilion berbanding 13.93 bilion unit bernilai RM10.31 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 12.85 bilion unit bernilai RM15.50 bilion berbanding 8.21 bilion saham bernilai RM9 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.39 bilion unit bernilai RM420.73 juta daripada 1.79 bilion unit bernilai RM304.55 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 4.46 bilion saham bernilai RM1.21 bilion daripada 3.91 bilion saham bernilai RM999.82 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.