Datuk Ir Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad hari ini memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di sini.

Beliau yang tiba di bangunan itu pada pukul 8.30 pagi, disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, Pegawai Kewangan Negeri Datuk A. Rahim Nin, ketua-ketua jabatan serta kakitangan kerajaan negeri.

Hasni, 61, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-18 di Istana Bukit Serene, di hadapan  Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Jumaat lepas.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut juga adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Pelantikan Hasni mendapat perkenan Sultan Johor selepas meyakini kerajaan Gabungan Baharu mendapat majoriti mudah iaitu 28 kerusi selepas sesi temu bual bersama baginda di Bukit Timbalan, Rabu lepas.

Hasni bakal memimpin kerajaan negeri Gabungan Baharu yang merangkumi BN, PAS dan Bersatu.

Bersatu telah mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb. – MalaysiaGazette