Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kearah sebahagian penyokong sebaik selesai menghadiri mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Tertinggi PKR di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2020

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penjelasan daripada beberapa pemimpin parti itu yang sebelum ini menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Presiden PKR itu menjelaskan, Naib Presiden, Tian Chua dan bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Afifi Bahardin serta beberapa yang lain mengakui menyokong Mohamed Azmin.

Bagaimanapun, penjelasan yang diberikan kepada parti, sepanjang memberi sokongan itu, mereka hanya sekadar menyokong tetapi langsung tidak mengetahui perancangan atau pakatan sulit pengkhianat itu dengan kepimpinan UMNO dan Pas.

“Ada sebahagian daripada mereka menyokong pengkhianat tetapi kita boleh redakan (terima) mereka. Mereka anggap pengkhianat ini sebahagian daripada penyokong mereka, tidak ada masalah (kerana) ketika itu dia masih timbalan presiden,” katanya ke[ada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan PKR di ibu pejabat PKR hari ini.

Menurut Anwar, beliau menerima baik tindakan diambil mereka itu untuk tidak keluar PKR malah menyatakan taat setia kepada parti.

“Mereka tak keluar parti, saya terima baik. Mereka ini masih taat kepada parti.. dan kadang-kadang segala pakatan sulit pengkhianat (Mohamed Azmin) mereka ini tidak tahu pun.

“Pada saya, mereka ini menjadi mangsa keadaan. Mereka sokong Azmin tapi pada masa sama mereka tidak pernah dengar ada pakatan sulit, (perancangan) jahat pengkhianat ini,” katanya.

Dengan itu, kata Anwar, beliau tidak boleh menyalahkan kumpulan berkenaan dan berterima kasih kerana masih mahu bersama PKR.

Katanya, kumpulan itu juga turut mengakui merasa tertipu dengan adegan permainan politik Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tian Chua dipukul dan dibaling botol oleh penyokong PKR