Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang sepakat menyokong Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional telah bertindak sebagai satu angkatan politik berhati nurani dalam menangani kegawatan politik ciptaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan sendiri.

Tanpa politiking atau mengambil kesempatan, UMNO, Pas, MCA, MIC, PBRS sepakat dalam keputusan yang diambil meskipun UMNO dihentam dan ditohmah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, semuanya demi rakyat, kestabilan politik dan kemakmuran negara.

“Di saat genting, bersendirian dan memerlukan sokongan, Tun berterusan menghentam dan mentohmah UMNO. Tetapi Muafakat Nasional bersetuju menyokong Tun M sebagai Perdana Menteri walaupun Kerajaan PH telah runtuh kerana isu peralihan kuasa.

“Malangnya Tun terus berdolak dalik dan berubah-ubah pendirian. Dia mengheret krisis ini berpanjangan.

“Justeru Muafakat Nasional mengambil keputusan menyokong Tan Seri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri demi menamatkan segera drama politik Mahathir,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, Muafakat Nasional boleh sahaja bermain kayu tiga, berkecuali dan bertindak oportunis di saat Bersatu menjadi berdua, menunjukkan Muafakat Nasional mempamerkan kematangan politiknya.

“Rakyat wajar buka mata bahawa hati nurani Muafakat Nasional ialah agenda rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette