Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia ditutup rendah apabila susut 1.06 peratus hari ini memandangkan pelabur masih tidak pasti mengenai perkembangan politik tempatan di tengah-tengah kebimbangan berkaitan COVID-19 (coronavirus) yang berlarutan.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang menjadi penanda aras pasaran, turun 15.70 mata kepada 1,466.94 selepas dibuka 11.30 mata lebih rendah pada 1,471.34.

Barometer tempatan itu bergerak di antara 1,456.08 dengan 1,478.68 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 651 berbanding 341, manakala 346 kaunter tidak berubah, 660 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.33 bilion saham bernilai RM3.28 bilion daripada 5.08 bilion saham bernilai RM4.74 bilion yang dicatatkan Jumaat lalu.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata penurunan di bursa hari ini bagaimanapun dihadkan oleh pembelian semasa harga rendah yang berperingkat di beberapa kaunter wajaran tinggi seperti Tenaga dan PPB.

“Keadaan politik tempatan hanya memberi kesan kecil terhadap prestasi FBM KLCI hari ini, memandangkan peserta pasaran lebih menumpukan peningkatan kes COVID-19 yang menular pantas di luar China,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan prestasi Khazanah Nasional Bhd bagi 2019 yang memberangsangkan dapat menyokong indeks utama itu seawal esok.

“Ia akan menjadi antara laporan positif yang boleh menambah baik sentimen pasaran, kemungkinan kita akan menyaksikan impaknya mulai esok, atau satu atau dua hari mulai hari ini,” katanya.

Khazanah Nasional Bhd, dalam tahun penuh pertama di bawah mandat baharu mencatatkan pemulihan bagi prestasi keseluruhan 2019 dengan keuntungan operasi disumbangkan oleh hasil pelupusan lebih tinggi dan susut nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Ia merekodkan keuntungan operasi RM7.36 bilion berbanding dengan kerugian operasi RM6.27 bilion pada 2018.

Melangkah maju, Leong juga menjangkakan berlakunya pembelian semasa harga rendah seterusnya melonjakkan FBM KLCI kepada paras lebih tinggi dalam tempoh beberapa hari akan datang selepas penurunan ketara susulan ketidakpastian politik tempatan minggu lalu.

“Penanda aras pasaran itu juga dijangka menjejaki prestasi bursa serantau, yang merekodkan pemulihan hari ini daripada kerugian minggu lepas,” katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.11 peratus kepada 3,007.72; Nikkei 225 Jepun menokok 0.95 peratus kepada 21,344.08; dan Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.62 peratus kepada 26,291.68.

Antara saham berwajaran tinggi, Tenaga naik 40 sen kepada RM12.50, PPB menokok 18 sen kepada RM18.28, dan Maybank susut tiga sen kepada RM8.39 manakala Public Bank dan IHH masing-masing kurang dua sen kepada RM17.08 dan RM5.68.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut 2.5 sen kepada 16 sen, XOX kurang satu sen kepada 3.5 sen manakala Eden menambah 7.5 sen kepada 27 sen, MyEG menokok lapan sen kepada RM1.20 dan Netx tidak berubah pada dua sen.

Perkembangan politik domestik menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, 72, memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri hari ini selepas menerima suratcara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi semalam.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada Isnin lepas, 24 Feb.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 124.15 mata kepada 10,354.61, Indeks FBM Emas Syariah kurang 102.45 mata kepada 11,018.70 manakala Indeks FBMT 100 susut 126.33 mata kepada 10,174.47.

FBM 70 merosot 229.37 mata kepada 12,644.55 namun FBM Ace menambah 20.15 mata kepada 5,258.44.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.87 mata kepada 130.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 181.93 mata kepada 14,148.72 dan Indeks Perladangan menguncup 90.26 mata kepada 6,719.48.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 3.05 bilion saham bernilai RM3.04 bilion daripada 3.35 bilion saham bernilai RM4.39 bilion pada Jumaat lalu.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 390.36 juta unit bernilai RM60.62 juta daripada 567.34 juta unit bernilai RM96.29 juta pada minggu lalu.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 887.59 juta saham bernilai RM177.06 juta daripada 1.16 bilion unit bernilai RM251.82 juta pada Jumaat minggu lalu.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 655.81 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (311.53 juta), pembinaan (179.54 juta), teknologi (411.99 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (93.88 juta), hartanah (299.90 juta), perladangan (48.48 juta), REIT (11.14 juta), dana tertutup (4,100), tenaga (608.67 juta), penjagaan kesihatan (37.96 juta), telekomunikasi dan media (53.57 juta), pengangkutan dan logistik (56.51 juta) serta utiliti (287.70 juta).

– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast