Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional disaran supaya memperhalusi pakej stimulus ekonomi yang dibentangkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri Interim minggu dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19.

Malah, kerajaan juga perlu bertindak tegas untuk menghalang kemasukan pelancong asing dari negara-negara yang dikenalpasti sebagai ancaman besar wabak itu seperti China dan Korea, kata
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

“Jika kerajaan Arab Saudi boleh menggantung visa umrah, kenapa kerajaan Malaysia masih membuka sempadan negara kepada COVID-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DPIM akan terus memberikan fokus kepada agenda rakyat dan agenda Muafakat Nasional demi kepentingan anak muda.

Ujarnya, tiada kerusi di Parlimen tidak bermakna Ikatan tiada suara untuk melaungkan jerit pedih suara rakyat Malaysia, terutama golongan anak muda.

“Jangan kita ulangi kesilapan Pakatan Harapan yang terleka dengan kuasa hingga meranapkan harapan rakyat Malaysia.

“Jangan juga kita ulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional yang dihantui isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Perikatan Nasional harus utamakan rakyat dan negara,” tambah beliau.

Dalam pada itu Shahir berharap agar kerajaan Perikatan Nasional dapat menstabilkan situasi politik tanahair.

Katanya, apabila politik stabil, maka kerajaan dapat menumpukan perhatian untuk memperbetulkan ekonomi negara yang terus merudum sejak Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membuat sasaran 100 hari pentadbiran untuk memperbetulkan ekonomi negara, mensejahterakan perpaduan antara kaum serta membantu rakyat.

“Sasaran 100 hari ini perlulah logik kerana kita tidak terikat dengan mana-mana manifesto harapan palsu,” katanya. – MalaysiaGazette