Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan foto FAREEZ FADZIL,

KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Bhd. merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM7.36 bilion pada 2019 berbanding rugi RM6.27 bilion pada 2018, disumbang terutamanya oleh keuntungan penjualan aset dan rosot nilai yang lebih rendah.

Pulangan portfolio yang memberangsangkan turut menjadi penyumbang prestasi positif itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, sayap pelaburan negara itu berkata, keuntungan penjualan aset meningkat kepada RM9.9 bilion daripada RM1.4 bilion sebelum ini manakala susut nilai menurun kepada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada 2018.

Dengan itu Khazanah mengisytiharkan dividen sebanyak RM1 bilion pada 2019.

“Khazanah mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 28.2 peratus kepada RM484 juta berbanding RM674 juta pada 2018.

“Hutang dikurangkan sebanyak 17 peratus kepada RM45.8 bilion daripada RM55.2 bilion pada 2018 manakala nilai aset yang direalisasi semakin baik kepada tiga kali ganda berbanding 2.4 sebelum ini,” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridzuan berkata, prestasi 2019 itu berjaya dicapai di sebalik ketidaktentuan global termasuk proses Brexit yang memakan masa terlalu lama serta peningkatan perang perdagangan AS-China.

“Ini menjadikan kerja kami lebih mencabar kerana persekitaran pulangan rendah ini berterusan manakala pertumbuhan ekonomi pula perlahan secara umumnya.

“Di sebalik cabaran-cabaran tersebut, kami masih mampu mencapai progress yang signifikan dalam menunaikan mandat untuk membangunkan kekayaan Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.- MalaysiaGazette