Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Ithnin

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan sokongan yang diterimanya daripada Ahli Dewan Rakyat sehingga beliau layak menjadi perdana menteri kelapan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd. Ithnin mendakwa Muhyiddin yang telah mengangkat sumpah semalam telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung sokongan yang berjaya diraihnya dalam kalangan ahli-ahli parlimen.

Ia ekoran daripada sokongan majoriti yang diterima oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dari kalangan wakilr rakyat Pakatan Harapan (PH).

“Dengan pendedahan berani yang dibuat oleh Mahathir semalam, jelas lagi bersuluh bahawa majoriti memihak kepada beliau. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkemungkinan besar telah mengelirukan YDPA berhubung status ‘majoriti’ yang beliau miliki harus membuktikan kepada awam bahawa beliau benar-benar memperoleh mandat majoriti untuk mentadbir Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selagi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak mendedahkan bukti sokongannya maka menurut Mohd Shazni, pertikaian terhadap kelayakannya menjadi pengganti Mahathir tidak akan berhenti.

“Pemuda Amanah percaya selagi Muhyiddin tidak membuktikan majoriti yang beliau miliki, masyarakat awam akan terus mempersoalkan legitimasi kerajaan pintu belakang yang beliau ketuai.

“Lantas kami mendesak agar Muhyiddin tampil ke depan mendedahkan sokongan sebenar yang beliau miliki. Jika benar beliau berstatus majoriti, beliau tidak perlu lari dengan gesaan sederhana ini,” katanya lagi.

Terdahulu, PH mendakwa  menerima 114 sokongan terhadap Mahathir yang dibuat menerusi akuan bersumpah (SD).

Terdahulu YDPA, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Muhyiddin yang mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen sebagai perdana menteri.

Pelantikan Muhyiddin itu selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. APALAH BANGANG SANGAT KAU PERGI JER LAH ISTANA JUMPA TUANKI YDPA SEBAB TIANKU YANG JAWAPAN YANG KORG NAK…

  2. Masa MN suruh bubar parlimen, PH tak nak, dengan alasan membazir juta-juta, bukan ke lagi senang kalau semua sokong bubar parlimen, dan PH boleh lah letak Abng Non sebagai calon PM pada PRU15 yang pada PRU14 abang Non masih masuk Sungai Buluh, tidak sempat nak rasa PRU14. Baru kita tahu siapa anak jantan boleh menang atau tidak menang PRU15.

Comments are closed.