Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) yang lengang sejak pagi tadi tiba-tiba kecoh dengan kehadiran Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Tian Chua dilihat memasuki YKP jam 2.25 petang.

Turut dilihat memasuki YKP adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin.

Tian Chua semalam ditampar dan dibaling botol minuman penyokong partinya dalam kejadian di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Penyokong parti berkenaan dipercayai tidak berpuas hati kepada Tian Chua yang dilihat cenderung kepada kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selain menjerit ‘pengkhianat’ kepadanya ketika mahu meninggalkan pejabat berkenaan selepas mesyuarat.

Terdahulu, Afif dan Setiausaha PKR Selangor Mohd Razlan Jalaluddin turut diserang kumpulan penyokong parti berkenaan di lokasi sama.

Kebanyakan penyokong PKR dilihat berang dan menjerit perkataan ‘pengkhianat’ kepada kedua-dua individu berkenaan.

Sementara itu, tepat pukul 2.40 petang, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilihat memasuki YKP untuk bertemu Mahathir.

Sebelum itu, sebelah pagi Mahathir seperti biasa memasuki pejabatnya di YKP seperti rutin hariannya. – MalaysiaGazette