Aktivis, Fadiah Nadwa Fikri (dua kiri) bersama tiga rakannya hadir untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi berhubung perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Peguam yang juga aktivis peguam Fadiah Nadwa Fikri dan tiga individu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka Sabtu lalu.

Tiga individu berkenaan iaitu Nik Azura Nik Narson, Liew Liang Hong dan Wong Yan Ke.
hadir bersama Fadiah kira-kira pukul 1 petang dengan ditemani lima peguam.

Fadiah berkata, polis akan merekodkan kenyataan mereka untuk siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Semalam, Fadiah hadir ke Unit Siasatan Khas CID Bukit Aman, berhubung ciapan di Twitternya berhubung perhimpunan berkenaan.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan perkhidmatan dan kemudahan rangkaian secara salah.

Menerusi tweetnya, Fadiah menggesa orang ramai supaya menyertai “Himpunan Turun ke Jalan, Demokrasi Mati (Sabtu, 29 Februari).

Sementara itu, aktivis PSM, E Nalini bersama-sama dengan 13 yang lain turut dipanggil bagi siasatan di ibu pejabat polis sama pukul 3 petang ini berikutan perhimpunan di hadapan pusat beli-belah Sogo pada Ahad lepas.

Antara yang turut dipanggil iaitu Datin Paduka Marina Mahathir dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Saya telah dipanggil untuk siasatan dengan 13 yang lain di balai polis Dang Wangi mengenai perhimpunan di pusat beli-belah Sogo pada hari Ahad.

“Polis perlu segera menghentikan apa-apa bentuk ugutan terhadap mereka yang melaksanakan hak mereka untuk bercakap dan berkumpul,” kata Nalini dalam catatan Facebook semalam.

Para pemimpin masyarakat sivil yang lain turut hadir, termasuk pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy. – MalaysiaGazette