Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Parti Bumiputra Perkasa Malaysia Bahagian Setiawangsa dan Titiwangsa di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan kekalkan identitinya sebagai parti yang berada di luar dari kumpulan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu akan menjadi semak dan imbang kepada PN dan PH jika mereka tidak dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik.

“Kita akan kekalkan dengan identiti kita di luar dari kumpulan ini dan jika mereka tak dapat nak laksanakan perkara ini, tentu rakyat, kaum Bumiputera akan merasa kecewa.

“Semangat dukacita mereka inilah yang akhirnya akan menyokong Putra dan dengan adanya Putra, ia juga menjadi igauan kepada parti memerintah sekarang yang dikatakan parti Melayu ini.

“Kalau Putra menyebelahi mana-mana parti ini, mereka akan merasakan tidak terancam dan kembali kepada perangai lama, sebab mereka tidak ada cabaran,” katanya kepada media selepas melancarkan Putra Bahagian Setiawangsa dan Titiwangsa di Dewan Orang Ramai, Kampung Paya, Kampung Bharu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Putra Bahagian Titiwangsa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif; Ketua Bahagian Setiawangsa, Mohamed Harmy Yusoff; Ketua Wirawati Putra, Dr. Asmah Razalli; dan Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria.

Menurut Dr. Ibrahim, dengan adanya Putra, semua parti itu akan lebih berwaspada kerana bimbang penyokong dan ahli mereka lari kepada parti yang memperjuangkan hak orang Melayu serta kaum Bumiputera itu.

Sebab itu katanya, Putra akan kekal dengan identiti sendiri dengan falsafah sebagai sebuah parti nasionalis, Islam dan Melayu yang tulen, iaitu parti Bumiputera yang berpegang teguh kepada asas Perlembagaan negara tanpa kompromi.

Kata beliau, dalam situasi politik sekarang, walaupun DAP dinyahkan dari kerajaan PH dan diganti dengan kerajaan PN, pada Putra ianya terlalu awal untuk hendak mengukur dari segi kepentingan politik kaum Bumiputera khususnya orang Melayu dan Islam.

“Kita akan memerhati dengan teliti dan dekat apakah kerajaan baharu ini, yang selama ini sesudah jatuh dahulu bersuara kembali untuk menegakkan agenda Melayu dan Islam?

“Apakah mereka akan dan sanggup dengan tegas melaksanakan sekolah satu aliran dan mengetepikan sekolah vernakular dari segi dana kerajaan dan apakah biasiswa yang menjadi hak milik kaum Bumiputera dikembalikan seratus peratus.

“Apakah tanah rizab Melayu yang hilang tidak sedikit akan dikembalikan ke status 50 peratus sebagaimana Wasiat Raja-Raja Melayu dan apakah kerajaan baharu ini bersedia untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai hak keistimewaan orang-orang Melayu bagi mengkaji balik hak istimewa Melayu yang sudah hilang yang sudah terkubur dikembalikan semula sepertimana dijamin dalam Perlemgagaan?,” soal beliau.

Beliau turut bertanya, apakah kerajaan sekarang ini sanggup menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji hal-hal mengenai kerakyataan, kerana menjadi isu kontroversi sebelum ini dan juga perkara berkaitan dengan pendatang asing.

“Apakah kerajaan sekarang ini dari segi dasar ekonomi, dari segi menggunakan hak istimewa Melayu meletakkan hak agenda Bumiputera sebagai agenda induk kepada sebarang bentuk pembangunan negara Malaysia?

“Ini antara contoh, termasuk apakah kerajaan ini sanggup mengemukakan Rang Undang-Undang baharu bagi menggantikan akta seakan ISA, yang boleh kita namakan AMLA iaitu Akta Anti Islam dan Anti Raja-Raja Melayu bagi menjamin dan serta menjaga supaya tidak dihina seperti sebelum ini.

“Hukumannya pula mesti lebih keras, mesti berdasarkan mandatori sama ada rotan ataupun penjara sebanyak yang boleh. Semua ini menjadi persoalan,” katanya.

Kata Dr. Ibrahim lagi, kalau perkara itu tidak dilaksanakan, bererti jelaslah apa yang dikatakan kemarahan kepada DAP dan juga tertubuhnya kerajaan PN ini tidak lebih daripada pemimpinnya kembali untuk berkuasa semula, bukan menjadikan agenda Melayu perkara utama dan pokok.

Selain itu, ujarnya, pemimpin berkenaan juga dapat mempamerkan sifat kepimpinan, contoh melalui tauladan, dilihat bersih, tidak bermegah, hidup mewah dan sebagainya yang sememang tidak memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan melalui tauladan, apatah lagi pemimpin Islam.

“Walaupun ada pemimpin kita yang dilihat bercakap bab Islam, latar belakang pengajian Islam, tetapi tidak sedikit juga ada yang melakukan kecurangan, hidup mewah dan bermegah-megahan. Ini semua akan menjadi perhatian parti Putra,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast