Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Penolong Pengurus Malayan Banking Bhd. (Maybank), Low Ai Lin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsuddin menerima RM6 juta pada 20 Disember 2016.

Sebanyak RM5 dikeluarkan daripada akaun itu pada hari yang sama sebelum RM1.5 juta dikeluarkan pada September 2017, kata saksi ke-11 pada perbicaraan projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa pemeriksaan balas, peguam Rosmah iaitu Azrul Zulkifli Strok membangkitkan isu tandatangan Saidi yang kelihatan berbeza pada dua cek dengan tandatangan semasa membuka akaun di Maybank pada 27 Mac 2009.

Ai Lin mengaku wujud perbezaan tandatangan dan dalam masa sama mengesahkan wang berjaya dikeluarkan walaupun polisi Maybank adalah sebaliknya.

Azrul: Kalau awak lihat tandatangan pada kedua-dua cek itu berbeza dengan tandatangan pada borang untuk membuka akaun kan?

Ai Lin: Ya, berbeza.

Azrul: Jika seseorang pelanggan mengeluarkan check untuk ditunaikan tetapi tandatangan berbeza dengan spesimen kad (kad untuk membuka akaun) adakah Maybank akan lepaskan wang tersebut?

Ai Lin: Kebiasaannya Maybank tidak akan lepaskan.

Pasukan pendakwa raya kemudian bertanyakan kepada Ai Lin, susulan daripada perbezaan tandatangan pada cek milik Pengarah Urusan Jepak itu, adakah laporan pemalsuan dibuat?

Low mengesahkan sehingga kini tidak ada laporan oleh mana-mana pihak berhubung perbezaan tandatangan pada akaun itu.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan sehingga esok oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dijangka memberi keterangan esok. – MalaysiaGazette