Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media pada hari pertama memulakan tugas di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Tan Sri Annuar Musa tidak bermaksud mahu Perdana Menteri membubarkan Parlimen selepas Jemaah Menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah semalam.

Sebaliknya apa yang dimaksudkan Annuar dalam Twitter miliknya hari ini ialah mempersoalkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendesak agar Parlimen dibubarkan sedangkan mereka menentangnya sebelum ini.

“Saya kata kita harap dapat perbetulkan segala apa yang ditinggalkan Kerajaan PH.

“Masalah besar negara termasuk Covid-19 dan sebagainya kena selesaikan, kemudian mesti kembali kepada rakyat kemudian bolehlah kita nak bubar Parlimen.

“Twit saya adalah maklum balas kepada ada orang baru sekarang nak cakap suruh bubar Parlimen, undi tak percaya dalam Parlimen,” katanya pada sidang media di pejabat baharunya di Menara Seri Wilayah hari ini.

Beliau mengulas laporan media Malaysiakini hari ini yang tidak melaporkan sepenuhnya status terbaru di Twitternya.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung UMNO itu berharap Parlimen dibubarkan agar kerajaan dapat dibentuk melalui ‘pintu depan, selera dengan kehendak Muafakat Nasional.

Annuar juga menegaskan, Kerajaan PN tidak boleh mengulangi kesilapan sama yang dilakukan Kerajaan PH sebelum ini termasuk asyik berpolitik.

“Kita tak boleh berpolitik sepanjang masa, kerajaan ini terbentuk kerana kegagalan kerajaan terdahulu, dan kita mesti utamakan rakyat. Jadi, peluang harus diberikan kepada Perdana Menteri dan Kabinet untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kemudian kita tak dapat lari ke mana-mana pun, kita akan kembali kepada rakyat bila sampai masanya,” katanya.

Kegagalan Kerajaan PH menguruskan negara sebelum ini bukan sahaja satu cabaran kepada PKR, DAP, dan Amanah bahkan ia menjadi beban kepada semua pihak termasuk Kerajaan PN.

“Saya fikir bukan saja kepada PH bahkan PN ini adalah cabaran kepada semua pihak, kita di sini bekerja untuk rakyat

“Sudah tentu kita akan habiskan penggal ini (baru bubar Parlimen),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Annuar harap pintu depan segera dibuka dan Parlimen dibubar