Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PUTRAJAYA – Saya bukan (jenis) kerja one man show (seorang) diri. Saya akan perkenalkan cara kerja mengikut sistem piramid, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya, cara kerja beliau juga lebih menitikberatkan konsep masa dan tidak suka anak buahnya (penjawat awam) bawah jabatan dan agensi kementerian mengabaikan waktu ketika menjalankan amanah.

Menurut beliau, ketua jabatan itu juga perlu menyediakan laporan setiap minggu kepadanya berhubung tugas kakitangan bawahan supaya semua  bekerja secara profesional.

“Saya suka kerja secara piramid, saya bukan one man show. Mulai sekarang juga setiap ketua perlu ada laporan mingguan bagi kakitangan bawahannya.

“Bos atau ketua unit perlu periksa kakitangan masing-masing. Jam 9 pagi mereka di mana, jam 3 petang mereka di mana. Takkan jam 4 petang masih makan lagi. Ini budaya tak elok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tausiyah Am kepada kakitangan jabatan dan agensi agama bawah Kementerian di Jabatan Perdana Menteri di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Marzuki Shaari.

Menurut Dr. Zulkifli, antara yang beliau akan tekankan dalam konsep kerja ialah setiap mereka berada di awalan, iaitu datang kerja awal dan siap kerja awal.

Ini kerana ujarnya, nikmat yang mereka miliki adalah untuk rakyat dan masa itu pula bersifat keemasan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak dapat masuk awal ke pejabat pada hari pertamanya semalam kerana perlu menghadiri dan menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pelantikannya sebagai menteri.

“Semalam saya tak masuk pejabat, sengaja saya masuk hari ini sebab nak solat sunat dhuha dan solat sunat hajat dengan tuan-tuan,” katanya.

Dr. Zulkifli turut menyentuh mengenai cabaran yang berkaitan dengan masa, iaitu apa yang dilihat dan diperhatikannya, kakitangan banyak membazirkan waktu.

“Kadang-kadang mereka buat kerja tidak penting, hilang waktu bertugas, tempat duduk kosong, anak buah tidak dapat dikesan oleh ketua dan sebagainya.

“Ini konsep tidak sihat. Padahal, kalau kita datang awal, buat kerja awal, kita dapat menyiapkan kerja lebih awal,” katanya.

Katanya, selepas ini beliau akan memperkenalkan fail meja, iaitu sebaik kakitangan masuk pejabat, mereka sudah tahu apa bidang kerja yang perlu dilakukan dan tugasan itu mengikut kelayakan masing-masing.

“Saya mahu kakitangan di jabatan dan agensi agama ini setaraf dengan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerja dengan profesional.

“Sebolehnya saya mahu mengelak stigma buah mulut orang ramai bahawa orang agama, agensi agama ini lemah, tidak stabil (dari segi kerja),” katanya.

Beliau turut menjelaskan, konsep Rahmah di bawah pentadbirannya ialah kasih saya, bukan membalas dendam, kerana amanah itu lebih tinggi dan merupakan pakaian bagi setiap umat Islam.

Selain itu, Dr. Zulkifli juga menyatakan akan memberi hadiah kepada pekerja yang 200 peratus cemerlang.

Katanya, hadiah itu akan diberikan kepada semua peringkat jawatan termasuk yang berjawatan rendah asalkan layak. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ALHAMDULILLAH… INILAH YANG DIKATAKAN MENTERI YANG BERILMU MEMBUAT KERJA, BUKANKAH GAJI DIBAYAR UNTUK BEKERJA MAKA LAKUKANLAH KERJA SEPANJANG MASA BEKERJA, KALAU NAK BUAT URUSAN PERIBADI LAKUKAN SELEPAS WAKTU BEKERJA.
    SAYA SYORKAN AGAR SEMUA PEKERJA SEKTOR AWAM JANGAN BANYAK MENGHABISKAN MASA DI WARUNG NASI LEMAK SELEPAS PUNCH-IN.
    KALAU NAK KELUARKAN DUIT DI BANK SEKALIPUN TAK PERLU LAGI GUNA MASA PEJABAT. SEKARANG NI BOLEH AMBIL WANG WALAUPUN BANK DAH TUTUP.
    KALAU NAK BAYAR BIL BOLEH ONLINE SELEPAS WAKTU PEJABAT… WAKTU PEJABAT ADALAH UNTUK URUSAN RASMI KERAJAAN SAHAJA.

Comments are closed.