LONDON– Muzium Pitt Rivers Universiti Oxford akan memulangkan jenazah 39 individu yang diambil ketika era penjajahan Britain kepada masyarakat Naga di timur laut India, kata pihak muzium.
Muzium berkenaan yang menempatkan koleksi artifak Naga terbesar di dunia, mengesahkan pihaknya sedang membuat persiapan untuk proses penghantaran pulang selepas Universiti Oxford meluluskan permohonan restitusi oleh Forum for Naga Reconciliation (FNR).
“Jenazah ini telah berada jauh dari tanah air mereka terlalu lama,” kata pengarah muzium, Laura Van Broekhoven, dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP.
Jenazah berkenaan dikumpulkan pada awal abad ke-20 oleh pentadbir penjajah Britain dan sebahagiannya masih dipamerkan kepada umum sehingga 2020.
“Bagi masyarakat Naga, penghantaran pulang bukan sekadar mengenai tulang dan tinggalan nenek moyang kembali ke tanah asal, tetapi yang lebih penting ialah ingatan kembali ke tempat asalnya,” kata FNR bersama beberapa pertubuhan masyarakat Naga dalam kenyataan kepada AFP, sambil menyambut baik persetujuan itu.
Muzium Pitt Rivers berkata permohonan berkenaan membabitkan 40 set jenazah.
Universiti Oxford meluluskan pemulangan 39 daripadanya pada 13 Julai lalu selepas memutuskan satu spesimen “tidak mempunyai asal-usul yang jelas sebagai Naga”.
Pihak muzium berkata, mereka sedang bekerjasama rapat dengan masyarakat Naga untuk menetapkan tarikh upacara penyerahan, namun tarikhnya masih belum ditetapkan.
Persetujuan itu merupakan sebahagian daripada gerakan antarabangsa yang semakin berkembang untuk memulangkan artifak dan jenazah manusia yang diperoleh institusi Barat ketika era penjajahan.
Pada 2022, Muzium Horniman di London memulangkan 72 artifak kepada Nigeria, termasuk 12 artifak gangsa Benin, manakala awal tahun ini Universiti Edinburgh memulangkan tengkorak enam individu kepada sebuah kumpulan masyarakat Orang Asli Amerika.
Greece pula sejak beberapa dekad lalu menuntut Britain memulangkan arca Parthenon, dengan alasan artifak berkenaan telah diambil secara tidak sah pada awal abad ke-19 oleh Lord Elgin, Duta Britain ke Empayar Uthmaniyyah.
London bagaimanapun menegaskan arca berkenaan diperoleh secara sah, manakala kerajaan Britain secara berturut-turut menyatakan keputusan mengenai pemulangannya terletak pada Muzium British, tempat artifak berkenaan disimpan. – Agensi
















