Pusat komersial di Rom, Itali sunyi sepi selepas perniagaan ditutup ekoran kebimbangan penularan Covid-19. foto Reuters

KUALA LUMPUR – Kebanyakan negara di seluruh dunia mula menutup sempadan-sempadan dan melaksanakan kawalan kemasukan yang ketat dan menghadkan perhimpunan dalam usaha mengekang penularan koronavirus.

Apple Inc. berkata, ia akan menutup semua premis runcitnya di seluruh dunia, di luar negara China sehingga 27 Mac ini.

Negara-negara juga telah menutup operasi muzium, tempat tumpuan pelancong dan menangguhkan acara sukan bagi meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.

Setakat ini lebih daripada 138,000 orang di seluruh dunia telah dijangkiti wabak itu dan lebih 5,000 orang meninggal dunia.

Columbia akan menutup sempadannya dengan Venezuela dan menghentikan kemasukan pelancong dari Eropah dan Asia.

Amerika Syarikat mengharamkan kemasukan pelancong dari benua Eropah mulai tengah malam Jumaat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata. Eropah telah menjadi pusat pandemik selepas melaporkan lebih banyak kes jangkitan dan kematian berbanding seluruh dunia yang digabungkan, selain China yang menjadi punca wabak itu.

Koronavirus dikesan di Wujan pada Disember lalu.

Arab Saudi akan menggantung semua penerbangan antarabangsa selama dua minggu, bermula Ahad, menurut agensi berita SPA.

Taiwan pula mengenakan syarat kuarantin selama 14 hari kepada pengembara dari Eropah, Britain dan Ireland, sementara New Zealand melaksanakan langkah yang sama.

Perdana Menteri Jacinda Ardern juga menghalang kemasukan kapal pelayaran, yang menjadi sumber utama jangkitan di beberapa negara ke New Zealand hingga 30 Jun.

Presiden Chile Sebastian Pinera mengumumkan larangan penganjuran acara-acara umum dengan lebih 500 orang pada hari Jumaat.

Australia turut mengenakan larangan sama berkuat kuasa pada hari Isnin.

Britain akan mengisytiharkan darurat pada minggu depan untuk mengharamkan perhimpunan besar-besaran, kata sumber kerajaan.

Filipina pula mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam dan menggesa pusat beli-belah untuk ditutup selama sebulan. – MalaysiaGazette