Cubaan seorang individu menyeludup masuk dadah jenis syabu ke dalam negara menerusi perairan Sabah menggunakan bot nelayan tumpas.

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang individu menyeludup masuk dadah jenis syabu ke dalam negara menerusi perairan Sabah menggunakan bot nelayan tumpas.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu telah ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam semasa terlibat tugas di Pos Platun Taktikal Wallace Bay, Tawau, Sabah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek telah menaiki sebuah bot dari arah Nunukan, Indonesia menuju ke Malaysia sebelum berjaya dikesan kehadiran bot dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot polis berjaya menjumpai empat biji tayar beserta rim kereta sebelum polis berjaya menemui 20 buah bungkusan berwarna hijau dengan tertera perkataan GuanYinWang.

“Kesemua bungkusan itu disorokkan dalam empat biji tayar yang mana setiap tayar mengandungi lima bungkusan dan selepas diperiksa teliti mendapati plastik lutsinar mengandungi ketular hablur jernih disyaki syabu,”katanya dalam kenyataan media petang ini.

Tambah Acryl Sani, dadah bentuk plastik lutsinar itu adalah seberat 21,193.82 gram bernilai anggaran RM1.16 juta.

“Suspek berkenaan kini telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Mac ini. Dia akan disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.

Satu lagi kejayaan polis, katanya, apabila Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman melancarkan operasi di Jinjang pada Jumaat lalu sebelum menahan lapan lelaki warga tempatan yang disyaki sindiket pengedaran rokok seludup.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun dan salah seorangnya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis berjaya merampas 2,250,000 batang rokok seludup berjenama Zong King bernilai RM1.687 juta bersama tiga buah lori, tiga van dan sebuah kereta MPV jenis Toyota Alphard yang keseluruhannnya bernilai RM2.137 juta.

“Kesemua suspek direman di lokap Jinjang selama tiga hari hingga esok bawah Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut dan ditahan untuk kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta yang sama,” ujarnya.

Dalam satu lagi operasi di dua kawasan berlainan pada hari Jumaat yang sama di Kepong, polis berjaya menahan empat lagi lelaki warga tempatan berusia antara 37 hingga 42 tahun yang disyaki aktif menjalankan penyeludupan rokok haram.

Salah seorang suspek berkenaan didapati memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya, sejumlah 4,433,333 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.332 juta berjaya dirampas bersama dua buah lori disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan itu dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM3,350 juta.

“Kesemua suspek direman di lokap Jinjang selama empat hari sehingga 17 Mac ini di bawah Seksyen 116 (c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut dan juga akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta yang sama.

“Nilai keseluruhan rampasan untuk ketiga-tiga operasi berkenaan adalah dianggarkan sekitar RM6,654,460.00,” ujarnya-MalaysiaGazette.