Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Tan Sri Syed Hamid Albar.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan parti itu pada 25 hingga 28 Jun ini ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata,  persidangan bahagian Bersatu yang dijadualkan pada 18 April ini juga ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata, penangguhan itu dibuat berikutan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros) daripada mengadakan program, aktiviti atau persidangan sehingga akhir Jun ini.

“Nasib baik hari ini kita buat penamaan calon, kalau esok sudah tak boleh ada apa-apa mesyuarat, masih ada lagi mesyuarat cawangan dan bahagian untuk memilih pucuk pimpinan Bersatu.

“Pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MOT) Bersatu akan tergendala kerana mengikut surat edaran daripada RoS di mana pertemuan dan persidangan, diminta ditangguhkan sampai Jun ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Terdahulu, RoS dalam satu kenyataan hari ini melarang semua pertubuhan yang berdaftar dengannya agar menangguhkan semua aktiviti, mesyuarat mahupun persidangan tahunan sehingga 30 Jun ini.

Arahan yang berkuatkuasa bermula esok dilakukan selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan memandangkan situasi penular Covid-19 semakin meruncing ketika ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang semakin ketara di seluruh dunia.

Malaysia tidak terkecuali daripada wabak berbahaya itu dan sehingga semalam, sebanyak 428 kes telah dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SHSA – sama macam
    1. Harapkan Pegar, Pegar yang Makan padi.
    2 Harapkan Musang jaga kandang Ayam
    Sudah pasti pemilihan Ppbm akan tidak telus langsung.
    Yang kalah tetap akan menang, kalau setakat Boboi rugi Negara…. Best of the Worst.

Comments are closed.