Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR – Wanita MCA Kebangsaan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya melakukan pindaan pada akta berkaitan perkahwinan kanak-kanak di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Heng Seai Kie berkata, ia satu langkah proaktif dan perlu disegerakan untuk meningkatkan kesedaran awam bahawa perkahwinan kanak-kanak mempunyai implikasi negatif terhadap pembangunan mental dan fizikal kanak-kanak selain menafikan peluang pendidikan mereka.

Beliau berkata, melarang perkahwinan kanak-kanak adalah untuk melindungi hak asasi dan kebajikan kanak-kanak itu sendiri.

“Wanita MCA berharap kerajaan meminda undang-undang dan mengambil langkah proaktif meningkatkan kesedaran ramai mengenai implikasi negatif yang ada di sebalik perbuatan perkahwinan dan usia kecil ke atas kanak-kanak.

“Khususnya pasangan kanak-kanak secara langsung terdedah kepada risiko keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan tetap terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang agak ganas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Seai Kie, oleh kerana Malaysia adalah menandatangani Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), keputusan yang dibuat mengenai isu-isu yang sama haruslah berdasarkan kebajikan dan kepentingan terbaik kepada kanak-kanak.

Lebih-lebih lagi katanya, ada peruntukan khusus dalam undang-undang Persekutuan yang menterjemahkan perkahwinan kanak-kanak sebagai satu jenayah serius.

“Misalnya Seksyen 611 Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 792 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, atau Kanun Keseksaan. Oleh itu kerajaan harus melarang secara tegas perkahwinan kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sebenarnya, semua keputusan dalam soal kepentingan kanak-kanak perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan selain menghormati status Malaysia yang sudah menandatangani CRC.

“Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff telah memaklumkan bahawa sebarang dasar untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak akan dikaji semula dengan mengadakan perbincangan bersama ulama Islam,” ujarnya.

Sementara itu, Sisters in Islam pada Julai 2018 pernah menegaskan bahawa kebanyakan negara majoriti Islam menaikkan had umur perkahwinan.

Ini termasuk Algeria, (19 tahun untuk lelaki dan wanita), Bangladesh (18 tahun untuk wanita dan 21 tahun untuk lelaki), Morocco (18 tahun untuk lelaki dan wanita) dan Turki (usia minimum perkahwinan 15 hingga 18 tahun untuk wanita ).

Memandang Parlimen Indonesia mengundi menaikkan usia perkahwinan sehingga 19 tahun, kenapa tidak Malaysia meminda undang-undang kita untuk menaikan usia perkahwinan minimum kepada 18 tahun.

“Dalam merangka atau membuat perubahan pada sesuatu dasar dan undang-undang adalah penting untuk memperluaskan minda orang awam mengamalkan pendekatan bipartisan, sambil menegakkan semangat rakyat untuk melangkaui agama dan bangsa serta mengambil kira hak dan kebajika seluruh populasi penduduk,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.