Ir Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Satu Jawatankuasa Kerja Khas Malaysia-Singapura ditubuhkan untuk menyediakan pelan mitigasi menangani isu pergerakan rakyat, barangan dan perkhidmatan Malaysia ke Singapura, dan sebaliknya.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pelan mitigasi itu dibuat bagi mengurus kepentingan bersama antara Malaysia dan Singapura terutamanya memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Penubuhan pelan tersebut telah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jawatankuasa Khas ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan seorang wakil kabinet Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasni menambah, Jawatankuasa Kerja Khas itu kemudian akan membentangkan cadangan yang sesuai kepada Perdana Menteri kedua-dua negara bagi tindakan selanjutnya.

“Jawatankuasa Kerja Khas ini akan memaklumkan perkembangan berhubung isu ini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette.