Nabil Ahmad dan Adibah Noor bertugas sebagai pengacara pada Festival Filem Malaysia ke 30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menangguhkan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 berikutan penularan Covid-19.

Festival yang menghimpunkan penggiat seni dan pembikin filem itu sepatutnya dianjurkan mulai 9 April depan, dengan malam kemuncak di Encore Melaka pada 18 April ini.

Menerusi satu kenyataan, FINAS menyebut, langkah menunda FFM31 dibuat selaras keputusan kerajaan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April depan.

FINAS mengambil cakna berhubung penularan COVID-19 dan segala program serta persiapan berkaitan FFM-31 yang membabitkan orang ramai, ditangguhkan buat sementara waktu.

”Adalah menjadi tanggungjawab utama perbadanan sebagai penganjur untuk mematuhi keputusan kerajaan demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan semua pihak yang bakal terbabit dalam FFM31,” jelas FINAS.

Sebelum ini, 67 filem dilaporkan bersaing merebut 32 kategori pada FFM31.

Mengangkat tema Inspirasi Sinemaku : Tanpa Sempadan, karya yang bakal dipertandingkan merangkumi 35 filem Bahasa Malaysia; Mandarin dan Kantonis (15), Tamil (12), animasi (empat) serta sebuah filem yang mewakili kategori lain-lain. – MalaysiaGazette