Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan perdana menteri secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial pada 10 malam.

SINGAPURA – Agensi kerajaan dan persatuan perdagangan di Singapura bersedia membantu majikan tempatan untuk menyediakan penginapan sementara di republik itu untuk pekerja-pekerja Malaysia.

Memetik Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Chan Chun Sing sebagai berkata, The Straits Times melaporkan majikan pekerja Malaysia yang perlu menempatkan kakitangan mereka di penginapan sementara itu boleh mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan dan persatuan perdagangan.

Menurut laporan itu, Chan berkata pihaknya memberi jaminan untuk menangani kebimbangan warga Singapura terhadap implikasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia mulai 18-31 Mac ini bagi menangani pandemik COVID-19.

Sementara itu, dalam status terkininya di laman Facebook, Chan berkata Singapura telah mempunyai pelan luar jangka sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan dan barangan keperluan dari Malaysia.

“Kami telah menyediakan perancangan yang kukuh bagi menangani keadaan ini dan akan terus mengkaji semula strategi kami bagi memastikan warga Singapura tidak terputus bekalan makanan dan keperluan,” katanya.

Chan berkata Singapura mempunyai bekalan sumber karbohidrat seperti beras dan mi untuk tempoh melebihi tiga bulan di peringkat nasional.

“Bagi sumber protein seperti daging dan sayur-sayuran, kami akan menggunakan gabungan bekalan segar, sejuk beku dan tin bagi memenuhi permintaan dan kami mempunyai bekalan melebihi dua bulan untuk penggunaan secara normal.

“Bagi bekalan telur, kami mempunyai pengeluaran di peringkat tempatan dan turut mengaktifkan pilihan kargo udara untuk menggantikan bekalan dari Malaysia sekiranya mengalami gangguan,” kata Chan menerusi catatannya itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18-31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan perdana menteri secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial pada 10 malam.

Sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.

Chan dalam maklum balas segeranya pada Isnin turut menasihatkan syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja Malaysia yang berulang alik di antara Singapura dan Malaysia setiap hari mengenai kemungkinan perlunya untuk mengaktifkan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan masing-masing.

— BERNAMA