Orang awam terutamanya pelajar universiti serta kolej dilihat beratur panjang bagi mendapatkan tiket bas untuk pulang ke destinasi masing-masing pada hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

SUDAH pastinya golongan mahasiswa antara kelompok yang amat terkesan dengan arahan perintah kawalan pergerakan yang telah diumumkan berkuatkuasa 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020. Masakan tidak, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah meminta para pelajar UA dan IPTS termasuk pelajar antarabangsa yang masih berada di kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi yang lain) perlu kekal berada di premis tersebut walaupun bagi pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan ke kampung halaman. Para pelajar tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman/negara asal masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan. Situasi ini mula merungsingkan golongan mahasiswa kerana beranggapan seolah-olah terkurung dalam kampus.

Rentetan daripada senario ini kita mula kedengaran keluh kesah sebilangan mahasiswa yang merisaukan kebajikan mereka dari segi makan minum, tempat tinggal, kewangan serta tiket bas atau penerbangan yang telah terpaksa dibatalkan pada minit-minit terakhir. Pesan saya kepada golongan ini jangan panik, bimbang atau risau kerana pihak pentadbiran universiti sedang berusaha keras untuk menjaga kebajikan, kesihatan dan keselamatan anda semua.

Pengamatan penulis sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan ini menunjukkan semua universiti sudah mula bergerak secara proaktif dan agresif bagi membantu pelajar dan juga staf yang terjejas. Pihak pentadbiran universiti masing-masing telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menguruskan krisis ini secara menyeluruh sehingga perintah ini tamat.

Antara langkah awal yang telah diambil ialah, mahasiswa yang menginap dalam kampus terus dipusatkan di beberapa kolej kediaman yang telah dikhususkan supaya dapat mengawal pergerakan serta menguruskan pemberian bantuan yang
diperlukan. Sudah pasti perkara yang paling asas pada waktu ini ialah makan dan minum, untuk itu penulis melihat universiti mula memberikan sumbangan makanan percuma kepada pelajar. Misalnya di Universiti Putra Malaysia (UPM) semua pelajar yang menginap disediakan makanan percuma sebanyak tiga kali sehari iaitu, sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.

Malah bagi mengurangkan pergerakan dan kontak, makanan diedarkan ke kolej masing-masing secara packed food. Jadi mahasiswa sepatutnya tidak bimbang sebaliknya berasa lega kerana keperluan asas mereka sudah tersedia ada dan pihak universiti memikul tanggungjawab tersebut. Sebagai tambahan juga beberapa kafeteria juga dibenarkan beroperasi dalam kampus untuk memenuhi keperluan pelajar dengan syarat hanya boleh dijual secara bungkus.

Di samping itu, universiti juga kelihatan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajar yang tinggal di luar kampus. Misalnya, UPM telah mengambil langkah untuk menghantar bekalan bahan keperluan asas kepada pelajar luar kampus bagi mengurangkan pergerakan keluar mereka. Bekalan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, gula, minyak masak dan telur dihantar terus ke kediaman masing-masing. Jadi kalangan mahasiswa ini juga tidak perlu merisaukan kebajikan mereka.

Lebih menarik lagi beberapa universiti juga sudah menubuhkan tabung dana sumbangan Covid-19 untuk membantu staf dan pelajar, antaranya, UPM dan juga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Inisiatif ini membuka ruang kepada staf, alumni dan juga masyarakat luar yang prihatin menghulurkan sumbangan kewangan kepada universiti bagi meringankan beban kewangan. Hasil sumbangan ini akan digunakan untuk membelikan barangan keperluan asas pelajar serta menghulurkan bantuan kepada staf yang kurang berkemampuan.

Dari segi pemantauan kesihatan pula, pihak universiti juga terus membuka perkhidmatan pusat kesihatan masing-masing untuk memberikan rawatan termasuk membuat saringan risiko terhadap staf dan pelajar. Pelajar yang dikuarantin atau
sedang menjalani home surveillance baik dalam atau luar kampus pula sentiasa dihubungi dan dipantau status kesihatan mereka.

Jadi secara prinsipnya pihak universiti memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan kebajikan pelajar yang masih berada dalam kampus termasuk yang tinggal di luar kampus dan belum pulang ke kampung. Justeru mahasiswa tidak perlubimbang memikirkan kebajikan atau beban kewangan mereka. Sebaliknya mahasiswa hanya perlu memaklumkan kepada pihak universiti jika ada sebarang keperluan tambahan yang diperlukan dan pastikan sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah
Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM