Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak mentah Amerika Syarikat meneruskan keuntungan selepas melonjak 24% selepas Presiden Donald Trump memaklumkan akan campur tangan dalam perang harga antara Arab Saudi dan Rusia pada masa yang sesuai.

Penanda aras harga minyak Amerika Syarikat dan Brent merudum kira-kira 40% dua minggu lalu selepas OPEC yang diketuai Arab Saudi dan sekutunya termasuk Rusia gagal mencapai kata sepakat berhubung pengurangan minyak.

Kontrak hadapan West Texas Intermediate bagi bulan Mei naik sebanyak AS$0.43 atau 1.7% kepada AS$26.34 setong pada 0151 GMT.

Niaga hadapan minyak mentah pula sebanyak AS$0.56 atau 2% kepada AS$25.78 setong.

Kontrak hadapan Brent susut sebanyak AS$0.03 kepada AS$28.44 setong. Brent naik 14.4% pada hari Khamis, kenaikan terbesar satu hari sejak September tahun lalu.

Bagaimanapun, penanda aras antarabangsa susut kira-kira 16% minggu ini mencecah paras paling lemah sejak 2003 pada hari Rabu.

Keseluruhan sentimen pasaran masih tidak menentu disebabkan kebimbangan epidermik koronavirus akan terus menyekat aktiviti ekonomi di seluruh dunia, sementara pasaran dibanjiri dengan bekalan minyak yang murah akibat perang harga Arab Saudi-Rusia. – MalaysiaGazette