SHAH ALAM – Penangguhan semua aktiviti keagamaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tidak menghalang pihak masjid untuk meneruskan ceramah agama.
Cuma kali ini mereka memanfaatkan media sosial sepenuhnya.
Menurut Pengurus dan Imam I, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Abas Mohamad Yusof, walaupun umat Islam tidak dibenarkan memasuki masjid sepanjang tempoh 14 hari namun mereka masih boleh mengikut kuliah dan ceramah agama seperti biasa menerusi Facebook (FB) Live.
“Walaupun bacaan al-Quran dan sebarang aktiviti agama lain telah ditangguhkan namun kita ada buat FB Live.
“Kita sediakan satu tempat untuk jemput penceramah-penceramah agama dan topik yang kupas juga mengenai wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong hari ini.
Kata Abas, bagi memastikan jemaah dan ahli kariah mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, pihaknya juga membuat kawalan keselamatan di masjid bagi menghalang mana-mana pihak memasuki rumah ibadat itu.
“Buat masa ini, alhamdulillah pihak kariah kita akur arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
“Dalam masa sama juga pihak masjid pun membuat kawalan di setiap pintu pagar dan tidak membenarkan kepada jemaah untuk masuk ke dalam kawasan masjid melainkan ada urusan penting iaitu di pusat dialisis di masjid ini sahaja dibenarkan masuk,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, hanya petugas masjid sahaja dibenarkan masuk termasuk bilal, imam dan beberapa pegawai masjid yang telah diletakkan bertugas sepanjang lima waktu.
Ditanya tentang langkah pencegahan pandemik Covid-19, pihaknya telah membuat persediaan lebih awal pembersihan masjid sebaik sahaja virus mula dikesan di negara ini.
“Kita panggil kontraktor untuk membersihkan kawasan masjid dan kita ambil langkah sama juga, sebelum Covid-19 melanda, sedia cecair pembasmi kuman. Kita juga ada buat solat hajat, kita ada laksanakan Qunut Nazilah dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















