Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pasukan Melaka telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta bagi saingan CIMB Liga Super 2020 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara teleconferencing bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain, hari ini.

Pada mesyuarat tersebut, empat kes telah dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Melaka, PDRM, Kelantan dan Sarawak, katanya.

“Berhubung kes membabitkan Melaka, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020 telah berjaya membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

“Namun selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki yang masih tertunggak dibuat oleh pasukan Melaka seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM iaitu ia perlu dijelaskan pada penghujung Februari 2020.

“Oleh itu, Melaka telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka sendiri, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Stuart, kegagalan Melaka melunaskan baki yang masih tertunggak itu juga tidak boleh dikaitkan alasannya dengan isu pertukaran kerajaan di negeri berkenaan atau pun Perintah Kawalan Pergerakan kerana Covid-19 ketika ini kerana tarikh akhir pembayaran baki yang masih tertunggak itu adalah sebelum terjadinya kedua-dua perkara berkenaan.

FAM, katanya, akan memaklumkan segera kepada badan pengendali Liga Super iaitu Malaysian Football League (MFL) bagi pelaksanaan pemotongan tiga mata berkenaan.

“FAM juga memberikan tempoh kira-kira enam minggu iaitu sehingga 30 April 2020 kepada pasukan Melaka untuk menyelesaikan juga baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai tersebut. Jika gagal, mereka berdepan tambahan pemotongan sebanyak enam lagi mata,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pasukan PDRM yang sebelum ini telah dipotong tiga mata pada 3 Februari lalu, FAM berterima kasih kepada pasukan berkenaan kerana telah mula menunjukkan perubahan positif dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka berbanding sebelum ini.

PDRM didapati masih mengikut pelan pembayaran ansuran yang diberikan oleh mereka sebelum ini dan FAM berharap ia dapat diterusnya sehingga selesainya baki tunggakan berkenaan, katanya.

Bagi Kelantan pula, FAM masih memantau pembayaran yang dibuat mereka menerusi jadual pembayaran yang telah dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka bersama pemain dan pegawai terlibat yang mana ketika ini masih berjalan lancar.

Bagaimanapun ingin dimaklumkan bahawa kes tunggakan gaji membabitkan bekas pemain Kelantan, Amirizdwan Taj Tajudin tidak termasuk dalam ketetapan ini kerana kes berkenaan baru saja dibuat keputusannya pada mesyuarat Jawatankuasa Status FAM, 5 Mac 2020 dan hanya akan dibawa untuk penilaian pasukan bagi mendapatkan Lesen Kelab bagi tahun depan, itu pun jika pembayarannya belum diselesaikan.

“Satu lagi pasukan iaitu Sarawak, tiada lagi tunggakan hutang dengan pemain dan pegawai apabila kes-kes tertunggak sudah pun diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Sarawak cuma masih mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), sama seperti pasukan PDRM dan Kelantan yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi pasukan-pasukan berkenaan, tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO itu perlu diselesaikan pembayaran atau pelan penyelesaiannya selewat-lewatnya pada 30 April 2020.

Untuk itu, katanya, FAM sekali lagi menasihatkan dan pada masa yang sama memberi amaran kepada pasukan-pasukan ini supaya bersikap serius dalam menyelesaikan pembayaran ansuran tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai serta tunggakan hutang kepada LHDNM, KWSP dan PERKESO ini mengikut tarikh yang ditetapkan atau bakal berdepan hukuman pemotongan mata seterusnya.- MalaysiaGazette