TNB memastikan kesemua stesen janakuasanya berjalan lancar sepanjang tempoh PKP. Rondaan pegawai keselamatan juga berjalan seperti biasa bagi memastikan aset-aset TNB terpelihara dan berada dalam keadaan selamat dan baik.-pix TNB

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pihaknya akan memastikan penjanaan tenaga oleh stesen-stesen janakuasanya beroperasi dengan lancar, kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.

“Selain penjanaan, warga kerja teknikal TNB yang terlibat secara langsung dalam klasifikasi perkhidmatan kritikal juga bekerja bagi memastikan semua pengguna mendapat perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mereka termasuklah anggota kerja teknikal di bahagian grid serta pembahagian elektrik, kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan, katanya.

Operasi kritikal lain yang turut beroperasi adalah perkhidmatan pelanggan TNB CareLine, kawalan keselamatan dan fasiliti janakuasa bergerak.

Beliau turut memaklumkan bahawa semasa tempoh PKP, aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan.

Manakala pembacaan meter TNB dan operasi Kedai Tenaga di seluruh negara juga dihentikan untuk menjaga kepentingan orang awam dan warga kerja TNB terlibat.

Untuk sebarang urusan transaksi, pengguna dinasihatkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan applikasi myTNB.

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454, Facebook TNB CareLine. Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB.- MalaysiaGazette