Alizakri Alias

KUALA LUMPUR – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 dijangka menerima wang melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei ini.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, tabung persaraan itu meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin.

Malah satu emel khas bagi i-Lestari iaitu [email protected] telah disediakan untuk ahli-ahli menghantar sebarang pertanyaan berkaitan.

Jelas beliau, kelonggaran untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 ahli akan memerlukan pindaan kepada Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6).

Tunku Alizakri turut mengingatkan ahli tentang kepentingan menggunakan pertimbangan wajar apabila membaca tentang sesuatu berita atau paparan media sosial.

Ujarnya, terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutamanya melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter.

Dengan itu, para ahli diingatkan supaya mendapatkan maklumat daripada laman web dan saluran media sosial rasmi KWSP sahaja. – MalaysiaGazette