PTPTN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini.-Gambar Hiasan.

PUTRAJAYA- Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dilanjutkan kepada enam bulan berbanding tiga bulan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini.

“Saya tahu dalam keadaan krisis yang sedang kita lalui ini, ramai yang kehilangan sumber pendapatan.

“Peniaga-peniaga kecil terpaksa tutup kedai, pemandu teksi dan grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji, malah para majikan pun ramai yang menanggung kerugian kerana perusahaan dan perniagaan mereka terpaksa ditutup buat sementara waktu.

“Oleh sebab itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) pada hari ini telah memutuskan beberapa inisiatif utama yang saya harap dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh anda semua ketika melalui waktu yang sukar ini,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MTE kali kedua di sini hari ini.

Selain itu, kerajaan juga katanya, bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi membiayai pembelian peralatan perubatan.

Ini termasuk pembelian ventilator dan peralatan unit rawatan rapi (ICU); peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

Bagi menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat, tambah Muhyiddin.

Peruntukan sebanyak RM100 juta pula diberikan kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan kontrak baharu terutamanya jururawat.

“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi    untuk  menangani penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada kerajaan negeri tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan.

Peruntukan tersebut katanya, boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19, bantuan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.- MalaysiaGazette