Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mahu kebajikan dan keselamatan anak-anak kakitangan dan petugas barisan hadapan Covid-19 diberikan perhatian yang serius.

Jelas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sehingga kini sudah terdapat beberapa orang petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dan seorang doktor pakar sudah meninggal dunia menjadi mangsa kesembilan.

“Semua Taska, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah ditutup menyebabkan kerumitan kepada petugas barisan hadapan terutama suami isteri yang kedua-duanya perlu bekerja,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi media sosial beliau hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berpendapat, anak-anak berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan sekiranya ibu bapa mereka pulang ke rumah.

Sehubungan itu, beliau telah mencadangkan dua cara kepada kerajaan untuk mengambil langkah drastik iaitu mewujudkan beberapa tempat khas sesuai dengan keadaan untuk menjaga anak-anak para petugas tersebut demi memastikan keperluan asas mereka dan juga emosi anak-anak dalam keadaan stabil.

Kedua, menyediakan perlindungan paling optimum kepada para petugas dan keluarga mereka terutama dari aspek kewangan, kesihatan, keselamatan dan psikologi.- MalaysiaGazette