Stesen kuarantin COVID-19 di ISM menerima kumpulan pertama hari ini.

KUALA LUMPUR- Pusat Kuarantin COVID-19 di Institut Sosial Malaysia (ISM) hari ini menerima 130 pesakit di bawah siasatan (PUI) yang terdiri daripada pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pelajar berusia 13 hingga 17 tahun itu telah melalui proses saringan awal dan perlu diasingkan serta dipantau untuk satu tempoh yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Institut Sosial Malaysia yang merupakan sebuah Institut Latihan Awam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah diwartakan pada 21 Mac 2020 sebagai salah satu Pusat Kuarantin bagi operasi menangani wabak Covid-19.

“Semenjak itu, persiapan telah dimulakan untuk menerima kumpulan pertama PUI yang meliputi aspek penyediaan tempat tinggal, keperluan makan minum, keselamatan, mekanisme saringan dan penetapan petugas dari pelbagai agensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rina, seramai 100 orang petugas daripada pelbagai agensi telah dikenal pasti untuk ditempatkan di stesen tersebut.

Ini termasuk 25 petugas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ISM.

Kesemuanya akan ditugaskan secara bergilir mengikut jadual bersama-sama dengan para petugas lain daripada KKM, Angkatan Pertahanan Awam, polis, Pasukan Gerakan Am, Bomba, RELA dan RADICARE.

Sabtu lalu, kerajaan telah mewartakan 409 premis milik institusi dan jabatan kerajaan serta diisytiharkan sebagai stesen kuarantin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).- MalaysiaGazette