KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) meningkat 0.1 peratus, bulan ke bulan, pada Januari 2020 daripada negatif 0.3
peratus pada bulan sebelumnya.

IP merupakan petunjuk hala tuju ekonomi dalam beberapa bulan ke hadapan.

Indeks bulan rujukan Januari ini belum mengambil kira kejutan dalaman yang memberi kesan langsung kepada ekonomi
terutamanya pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia mulai 23 Januari 2020 hingga kini dan kesan pandemik ini dijangka digambarkan oleh indeks bagi bulan akan datang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, antara tujuh komponen IP, dua mencatatkan
peningkatan iaitu Jangkaan Nilai Jualan di sektor Pembuatan (0.5%) dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1%).

Beliau juga memaklumkan perubahan tahun ke tahun IP menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan dengan mencatatkan 0.7 peratus pada bulan pertama 2020 berbanding 1.9 peratus pada Disember 2019.

Sehubungan itu, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih perlahan pada bulan-bulan yang akan datang.

Menurut Mohd Uzir, penularan Covid-19 di Malaysia sangat membimbangkan sehingga kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Bagaimanapun, langkah-langkah mitigasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dijangka mengurangkan kesan pandemik itu kepada ekonomi. – MalaysiaGazette