Alat perlindungan muka yang dihasilkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi USIM.

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk kegunaan anggota kesihatan barisan hadapan yang sedang memerangi Covid-19.

Projek penghasilan pelindung muka ini digerakkan oleh kumpulan pensyarah fakulti itu iaitu Dr. Muhammad Zamir Othman, Dr. SM Shahrul Nizan Shikh Zahari, Dr. Azira Khalil, Dr. Mohd Azrul Mohd Yunus, Dr. Sofina Tamam dan Siti Nazurah Md Jusoh.

Projek ini diketuai oleh Dr. Mohd Ifwat Mohd Ghazali.

Pelindung muka yang dihasilkan ini merupakan antara komponen penting pelindungan diri yang dipakai oleh anggota kesihatan bersama kelengkapan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang lain sebagai langkah perlindungan keselamatan mengelakkan terdedah secara langsung dengan virus Covid-19.

Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, alat pelindung itu dihasilkan dengan mengguna mesin cetakan 3D yang terdapat di Fakulti Sains dan Teknologi.

Pelindung muka yang dihasilkan ini akan dipakai bersama pelindung plastik pakai buang yang turut dibekalkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi bagi memudahkan para pasukan kesihatan menjalankan tugas mereka

Menurut Dr Mohd Ifwat, penghasilan pelindung muka ini telah dibuat secara berperingkat bermula Isnin lalu.

”Kita mempunyai lima buah unit mesin cetakan 3D yang digunakan untuk Pembelajaran dan Pengajaran yang kita manfaatkan untuk tujuan murni ini.

”Setiap mesin mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 5 hingga 10 unit pelindung muka sehari dan kita berjaya siapkan 40 unit buat masa ini.

“Ketika ini permintaan dan penggunaan pelindung muka amat tinggi di hospital tetapi bekalan yang ada kini adalah terhad kerana setiap waktu para anggota barisan hadapan akan mengendalikan kes-kes suspek Covid-19 dan mereka yang positif mengidapnya. Risiko kesihatan itu amat tinggi, justeru pelindungan diri yang sempurna perlu dipakai oleh anggota kesihatan kita,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 12 unit set pelindung muka bersama pelindung plastik pakai buang telah serahkan kepada Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan 10 set lagi untuk Hospital Ampang.

”Kita turut bekalkan 2 set untuk digunakan anggota Jabatan Keselamatan USIM yang bertugas di pintu utama universiti kerana mereka bertugas untuk menyaring suhu badan setiap kakitangan dan pelawat yang masuk ke kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

”Terdapat permintaan dari hospital dan klinik kesihatan lain kita terima dan kita cuba penuhi dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette