Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

DALAM menangani penularan wabak Covid-19, ada di kalangan masyarakat kita berpegang dengan prinsip hak asasi manusia untuk tidak mendedahkan nama mereka setelah disahkan positif penyakit itu tanpa mengambilkira hak asasi rakyat yang lain untuk hidup bebas daripada wabak berkenaan.

Amat malang sekali apabila yang berpegangan begini termasuklah dua Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang sepatutnya berkesedaran hak asasi manusia yang tinggi selaras dengan fungsi organisasi itu “untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia”.

Saya melihat gejala ini sebagai satu simptom kepada kegagalan usaha pihak tertentu dalam kerajaan terdahulu memberikan penjelasan yang betul mengenai konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah kepada ahli pentadbiran dan kepada rakyat secara keseluruhan.

Konsep Islam Rahmatan lil ‘Alamin dan Maqasid Syariah yang betul sepatutnya mampu menekankan bahawa hak asasi individu bukanlah satu perkara yang mutlak kerana kepentingan individu tidak boleh mengatasi kepentingan masyarakat yang dianggotai oleh individu berkenaan.

Malah, jika dilihat kepada kandungan The Universal Declaration of Human Rights dan ASEAN Human Rights Declaration sekalipun, fakta kepentingan individu tidak boleh mengatasi kepentingan masyarakat yang dianggotai oleh individu berkenaan jelas terpampang di dalamnya.

Artikel 29 (2) The Universal Declaration of Human Rights menyebut: “In the exercise of his rights and freedoms, everyone shall be subject only to such limitations as are determined by law solely for the purpose of securing due recognition and respect for the rights and freedoms of others and of meeting the just requirements of morality, public order and the general welfare in a democratic society”.

Artikel 8 ASEAN Human Rights Declaration pula menyebut: “The human rights and fundamental freedoms of every person shall be exercised with due regard to the human rights and fundamental freedoms of others.  The exercise of human rights and fundamental freedoms shall be subject only to such limitations as are determined by law solely for the purpose of securing due recognition for the human rights and fundamental freedoms of others, and to meet the just requirements of national security, public order, public health, public safety, public morality, as well as the general welfare of the peoples in a democratic society”.

Begitu juga dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia sendiri yang kerap kali memperuntukan dalam pemberian hak asasi rakyat bahawa hak asasi ini sendiri adalah tertakluk kepada kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Tetapi, perkara sebaliknya berlaku dalam negara kita apabila dua Pesuruhjaya SUHAKAM yang diuji positif dengan Covid-19 pada awal bulan ini dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insight 24 Mac lalu sebagai enggan mendedahkan nama mereka setelah dibenarkan keluar dari hospital.

Walaupun dua Pesuruhjaya SUHAKAM ini sudah disahkan bebas dari Covid-19, mendedahkan nama mereka adalah satu kebaikan kerana ia akan membolehkan sesiapa sahaja yang pernah mempunyai kontak dengan mereka segera mengambil langkah kawalan.

Jika seorang individu yang jauh lebih terkenal seperti Putera Charles boleh mengumumkan secara rasmi dan cepat, melalui pejabat beliau di Clarence House, bahawa beliau positif Covid-19 setelah menjalani ujian saringan, mengapakah individu terkenal di negara kita enggan melakukannya?

Begitupun, tidak sukar sebenarnya untuk meneka dengan tepat identiti dua Pesuruhjaya SUHAKAM ini kerana di dalam laporannya itu portal berita The Malaysian Insight menyebut:

“Pada 15 Mac, The Malaysian Insight melaporkan dua pegawai SUHAKAM disahkan positif Covid-19, manakala seorang lagi pegawai diletakkan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI). Ketiga-tiga mereka hadir dalam siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, yang berlangsung pada 2 hingga 4 Mac di ibu pejabat SUHAKAM di Kuala Lumpur”.

Media sebelum ini banyak melaporkan bahawa tiga Pesuruhjaya SUHAKAM yang terlibat dengan siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu ini adalah Datuk Seri Mohd Hishamudin Md. Yunus, Jerald Joseph dan Dr. Madeline Berma.

Berdasarkan pengamatan, khususnya dengan melihat isi dan kekerapan Dr. Madeline Berma beraksi dalam media sosial, besar kemungkinan dua pegawai SUHAKAM yang positif Covid-19, tetapi sudah sembuh ini adalah Mohd Hishamudin dan Jerald Joseph.

Prinsip hak asasi manusia mana yang dua Pesuruhjaya SUHAKAM ini gunakan sebenarnya? – MalaysiaGazette

Dr. Kamarul Zaman Yusof adalah penganalisis politik dan merupakan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia.