JOHOR BAHRU – Kanak-kanak yang parah diserang lima anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini sudah sedar hari ini.
Perkembangan Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi yang berusia dua tahun itu disambut lega ibu, Nur Wahyuni Harun, 36, bapa, Mohamad Hamizi Hamdan, 37, dan ahli keluarganya.
Nur Haira Wafiqah yang sebelum ini ditidurkan kini masih masih dirawat dan sudah selamat dibedah di HSA selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Menurut Nur Wahyuni, keadaan Nur Haira kini menunjukkan perkembangan positif, tetapi anaknya masih memerlukan pemantauan dan rawatan lanjut daripada pihak hospital.
Katanya, keluarga amat bersyukur apabila Nur Haira mula menunjukkan tanda-tanda sedar selepas melalui detik sukar sejak kejadian tersebut.
“Alhamdulillah, Nur Haira sudah sedarkan diri. Kami sekeluarga sangat bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap keadaannya terus bertambah baik.
“Namun begitu, perjalanan untuk pulih masih panjang dan kami serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Sehubungan itu, Nur Wahyuni memohon orang ramai terus mendoakan agar anaknya diberikan kekuatan untuk melawan kesakitan serta dipermudahkan proses rawatan dan pemulihannya.
“Kami mohon semua doakan Nur Haira supaya terus kuat melawan sakit dan kembali sihat seperti sedia kala. Doakan juga urusan rawatan serta pemulihannya dipermudahkan,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi Sabtu lalu, Nur Haira diserang lima ekor anjing liar ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Serangan itu mengakibatkan kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan tersebut mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. -MalaysiaGazette
















