Datuk Mohd Jafni Md Shukor

JOHOR BAHRU – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kes salah guna kuasa dalam urusan permohonan lot tapak perumahan yang melibatkan rasuah RM1.6 juta tidak libat Exco atau pegawai kerajaan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyerahkan kes salah guna kuasa berhubung kes itu kepada SPRM Johor untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.

“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, siasatan kes ini tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sama ada dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kes ini dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, portal ini melaporkan SPRM Johor menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun Persekutuan di negeri ini kerana terlibat meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang kira-kira RM4,000 setiap seorang daripada 400 pemohon lot tapak rumah membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta sebelum menyeleweng wang tersebut untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan kesemua perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2025.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni turut menegaskan pendirian kerajaan negeri yang tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan demi keuntungan peribadi.

Amanah menyediakan perumahan rakyat tidak boleh dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengaut keuntungan atas kesusahan orang ramai, katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri kekal komited untuk mencapai sasaran penyiapan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang penghujung tahun ini.

“Setakat ini, lebih 21,000 unit rumah telah siap serta diserahkan kepada Bangsa Johor. Usaha besar ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri memastikan agenda pemilikan rumah terus dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa menggunakan saluran rasmi dan tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan.

“Sekiranya terdapat sebarang permintaan bayaran, laporan hendaklah segera dibuat kepada pihak berkuasa. Dalam soal rumah rakyat, amanah mesti dijaga dan hak rakyat jangan sekali-kali diperdagangkan,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM tahan pengerusi jawatankuasa perumahan, disyaki terlibat rasuah RM1.6 juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here