KUALA LUMPUR – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik yang bebas dan kompeten bagi memastikan penguatkuasaan Akta Pendanaan Politik tidak berlaku secara terpilih atau dipengaruhi kepentingan politik.
Penolong Pengurus Penyelidikan, Unit Demokrasi dan Tadbir Urus IDEAS, Muhammad Nur Syazwan Zainal Abidin berkata, badan kawal selia yang bebas penting bagi memastikan undang-undang berkaitan pendanaan politik dilaksanakan secara telus, adil dan konsisten terhadap semua pihak.
Menurut beliau, antara fungsi utama suruhanjaya itu ialah menyelia agihan pembiayaan awam kepada parti politik, merekod serta mengaudit laporan derma politik.
“Suruhanjaya itu juga dicadang bertanggungjawab menguatkuasakan had derma politik dan keperluan pendedahan maklumat selain menjalankan siasatan terhadap pelanggaran undang-undang.
“Ia turut mempunyai kuasa mengenakan tindakan pentadbiran seperti amaran, denda dan pelucuthakan dana,” katanya ketika Sesi Pembentangan pada Konvensyen Pendanaan Politik 2026 bertemakan ‘Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi’ di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Katanya, Suruhanjaya Pendanaan Politik itu perlu diwujudkan sebagai badan berkanun yang bebas serta bertanggungjawab kepada Parlimen.
Selain itu, katanya, Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli suruhanjaya berkenaan perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan pengesyoran Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pendanaan Politik.
“Jawatankuasa Parlimen mengenai Pendanaan Politik perlu mempunyai ahli daripada kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Syazwan berkata, IDEAS turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Pendanaan Politik sebagai badan pengawasan terhadap suruhanjaya tersebut.
Menurutnya, jawatankuasa tetap Dewan Rakyat itu perlu diwujudkan melalui Rang Undang-Undang (RUU) dan terdiri daripada enam hingga 12 ahli.
“Ahli jawatankuasa dilantik melalui resolusi Dewan Rakyat mengikut pengagihan kerusi antara kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, antara peranan jawatankuasa berkenaan termasuk mencalonkan ahli Suruhanjaya Pendanaan Politik, meneliti serta mempertimbangkan laporan yang dikeluarkan suruhanjaya dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan serta pemecatan ahli suruhanjaya.
Jawatankuasa itu juga berperanan mengawasi pelaksanaan sistem pendanaan politik bagi memastikan badan kawal selia berkenaan beroperasi secara telus dan bertanggungjawab.
Sementara itu, beliau berkata, IDEAS turut menggesa aspek pelaporan dan pendedahan pendanaan politik diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan serta tadbir urus sistem berkenaan.
Menurut Muhammad Nur Syazwan, penambahbaikan itu penting berikutan masih terdapat kelemahan termasuk format pelaporan yang tidak seragam, akses awam terhadap maklumat yang terhad dan penguatkuasaan yang kurang berkesan.
“Sehubungan itu, RUU Pendanaan Politik dicadangkan menetapkan format pelaporan yang lebih seragam serta rekod perakaunan yang lebih jelas.
“Pendedahan maklumat juga perlu dibuat dalam tempoh masa yang ditetapkan, termasuk memberikan akses kepada orang awam terhadap maklumat berkaitan penderma dan perbelanjaan politik,” katanya.
Beliau turut menyarankan sistem pelaporan secara digital dilaksanakan bagi memudahkan proses pemantauan, pengauditan dan penelitian terhadap aliran dana politik.
“Langkah berkenaan, menurut IDEAS, dapat mewujudkan sistem pendanaan politik yang lebih telus selain membolehkan pematuhan terhadap undang-undang dipantau secara lebih berkesan,” katanya.-MalaysiaGazette
















