JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan tanggung sepenuhnya kos rawatan dan pemulihan Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, yang cedera parah selepas diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab memastikan keluarga mangsa tidak perlu memikirkan soal kewangan sepanjang kanak-kanak itu menjalani rawatan.
“Bapa mangsa tidak perlu risau mengenai kos. Jika doktor mengesyorkan rawatan dan ibu bapa memberi keizinan, rawatan akan diteruskan dan kos rawatan ditanggung pentadbiran negeri.
“Saya juga akan menempatkan seorang pegawai untuk terus berhubung dengan pihak hospital bagi memudahkan pengurusan kos rawatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Nur Haira yang kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, Nur Haira masih ditidurkan dan memerlukan rawatan rapi selain dijangka menjalani proses pemulihan yang panjang.
Beliau turut meminta pihak hospital memberi perhatian terhadap keadaan emosi keluarga Nur Haira, termasuk abangnya berusia 12 tahun yang dikatakan menyaksikan kejadian tersebut.
Katanya, keluarga mangsa wajar diberikan khidmat kaunseling bagi membantu mereka mengatasi trauma susulan kejadian berkenaan.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kepalanya terkoyak dan pipinya berlubang akibat digigit sekumpulan lima ekor anjing.
Insiden mencemaskan itu disedari nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, yang menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebaik melihat haiwan tersebut mengerumuni cucunya di hadapan rumah.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Budak cedera parah diserang 5 anjing liar masih dirawat, abang trauma
















